Jumaat, 1 Disember 2023 | 6:15pm
Linda dan suaminya, Beego pernah bercerai talak satu, namun rujuk semula ketika masih dalam tempoh edah. - NSTP/Genes Gulitah
Linda dan suaminya, Beego pernah bercerai talak satu, namun rujuk semula ketika masih dalam tempoh edah. - NSTP/Genes Gulitah

Beego belum pernah menduakan saya - Linda Hashim

SHAH ALAM: Pelakon Linda Hashim, 39, tidak pernah berhadapan dengan masalah poligami seperti isu yang sedang hangat diperkatakan dalam media sosial.

Linda atau nama sebenarnya, Norhazlinda Hashim berkata, suaminya, Beego tidak pernah menduakan dirinya sejak mendirikan rumah tangga lebih 10 tahun lalu.

"Beego tak pernah buat saya seperti ini. Dia tak pernah menduakan saya. Kita ada masalah lain, saya tak boleh kongsi sebab benda itu berat.

"Tapi kalau berkahwin dua terjadi, saya tak boleh buat apa sebab berkahwin dua tidak dilarang dalam Islam.

"Dia boleh buat sekiranya mampu, kalau saya nak berperang pun, tapi kalau suami mampu, untuk apa? Bukan tempat saya untuk berperang, kalau benda lain yang tak sepatutnya, kita boleh berperang. Soal ini saya tak boleh komen lebih," katanya kepada BH Online.

Linda ditemui pada majlis Santai Selebriti Bersama Mufti Selangor di kediaman pelakon Diana Rafar dan Zamarul Hisham, semalam.

Linda enggan berkongsi lebih mengenai keluarganya, cukup hanya orang tahu mereka sudah kembali bersama. - NSTP/Genes Gulitah
Linda enggan berkongsi lebih mengenai keluarganya, cukup hanya orang tahu mereka sudah kembali bersama. - NSTP/Genes Gulitah

Terdahulu, Linda dan suaminya juga pelakon Beego atau nama sebenarnya, Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 43, mengesahkan pernah bercerai talak satu pada 27 Mac lalu, namun rujuk semula ketika masih dalam tempoh edah pada 9 April lalu.

Bertanya mengenai keadaan rumah tangganya, Linda berkata, dia tidak mahu berkongsi lebih mengenai keluarganya, cukup hanya orang ramai tahu mereka sudah kembali bersama.

"Setakat semua tahu, kami sudah kembali bersama. Itu sahaja yang saya boleh kongsi. Sudah tiada apa yang saya perlu kongsi mengenai keluarga saya.

"Ketika kami mahu berpisah, tiada siapa yang tahu. Sebabnya saya tidak bercerita dan bukan jenis saya bercerita kepada orang luar.

"Orang tahu pun sebab tertahu, itu pun tahu bila kami sudah rujuk balik. Waktu itu, saya bercerita mengenai rumah tangga dan sampai itu sahaja.

"Alhamdulillah kami baik, doakan. Tapi, saya akui memang ada berbeza keadaan sekarang berbanding dulu.

"Mungkin sebelum ini kami kurang komunikasi dan sudah perbaiki kekurangan," katanya.

Pasangan ini bertindak matang apabila tidak membuat sebarang perkongsian berhubung masalah dalam media sosial.

Terdahulu, Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan tiga cahaya mata, Jelita Clarissa, 9, Anggun Cassandra, 8, dan Indah Camelia, 4.

Berita Harian X