Khamis, 30 November 2023 | 6:20pm
Nabila masih janggal apabila ada peminat memanggilnya dengan gelaran ‘puan’ ketika menjayakan persembahan, baru-baru ini. - NSTP/Sadiq Sani
Nabila masih janggal apabila ada peminat memanggilnya dengan gelaran ‘puan’ ketika menjayakan persembahan, baru-baru ini. - NSTP/Sadiq Sani

Nabila terkejut dipanggil 'puan', lupa sudah kahwin

KUALA LUMPUR: Penyanyi Nabila Razali mengakui layanan peminat terhadapnya kini berbeza selepas bergelar isteri.

Mendirikan rumah tangga pada 18 November lalu, Nabila berkata, peminat terutamanya lelaki kini lebih menghormati statusnya sebagai isteri.

"Sebelum ini, peminat lelaki memanggilnya dengan panggilan 'cumi-cumi' sambil memberikan 'mini love', tapi kini hanya mengangkat tangan.

"Selepas berkahwin, saya perasan peminat lelaki tidak lagi bersikap gila-gila," katanya kepada BH Online.

Nabila mengakui, masih janggal apabila ada yang memanggilnya dengan gelaran puan ketika menjayakan persembahan di Universiti Sains Malaysia (USM).

"Mungkin kerana masih baharu, jadi saya perlukan masa untuk sesuaikan diri dan terlupa status saya kini sudah berubah.

"Saya terkejut apabila ada yang memanggil puan, saya tanya kembali kenapa panggil puan?

"Individu itu maklumkan kerana saya sudah berkahwin, kemudiannya barulah saya sedar," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu berjudul Hanya Kamu dan kolaborasi tudung bersama jenama Nada.

Nabila pada majlis pelancaran single terbaharu berjudul Hanya Kamu dan kolaborasi tudung bersama jenama Nada. - NSTP/Sadiq Sani
Nabila pada majlis pelancaran single terbaharu berjudul Hanya Kamu dan kolaborasi tudung bersama jenama Nada. - NSTP/Sadiq Sani

Nabila berkata, dia tidak bercuti panjang, sebaliknya terus mulakan kerja selepas berkahwin.

Malah, katanya, dia masih tidak berkesempatan memasak untuk suami kerana sedang sibuk berpindah masuk ke rumah suami.

"Saya rancang masak sambal jawa untuk suami. Sebelum ini, saya tak pernah masak untuk orang, jadi agak berdebar juga kali kali pertama sediakan hidangan buat suami," katanya.

Nabila sah bergelar isteri kepada usahawan Nik Iruwan Nik Izani, 38, dengan sekali lafaz.

Majlis pernikahan pasangan itu diadakan di The Chateau Spa & Wellness Resort, Pahang secara tertutup dan dihadiri hanya ahli keluarga serta teman rapat.

Pasangan itu kemudiannya diraikan di sebuah hotel di Damansara dengan majlis bertemakan Batik Jawa, baru-baru ini.

Berita Harian X