Khamis, 30 November 2023 | 11:02am
Hun tidak mengiyakan atau menafikan sama ada masih mempunyai perasaan terhadap Daiyan. - Foto IG Hun Haqeem
Hun tidak mengiyakan atau menafikan sama ada masih mempunyai perasaan terhadap Daiyan. - Foto IG Hun Haqeem

Hun tak tolak andai diganding lagi dengan Daiyan

KUALA LUMPUR: Mengakui pernah meminati Daiyan Trisha, aktor, Hun Haqeem, 25, tidak berselindung rasa gembira apabila dapat berganding dengan pelakon dan penyanyi itu dalam drama bersiri W: Two Worlds.

Hun atau nama sebenar, Haqeem Hermy cukup mengagumi Daiyan yang disifatkan sangat berdedikasi.

"Saya dan Daiyan sudah berjumpa sebelum ini apabila kami terbabit dengan projek jenama pakaian. Apa yang menarik mengenai Daiyan, dia cukup komited terhadap kerjanya. Apa yang dilakukan, dia buat sepenuh hati.

"Jadi untuk cipta 'chemistry'' bersamanya, sangat mudah sebab kami sudah jadi kawan.

"Kalau hendak cakap mimpi jadi kenyataan untuk bekerja dengannya, saya boleh cakap saya gembira dapat mengenali Daiyan sebagai rakan sekerja dan kawan," katanya.

Sebelum ini, pelakon, Meerqeen pernah mendedahkan dalam suatu temu bual bahawa Hun pernah menyimpan perasaan atau 'crush' terhadap Daiyan.

Ditanya sama ada masih mempunyai perasaan terhadap Daiyan selepas mereka berlakon bersama, Hun tidak mengiyakan atau menafikan.

Bagaimanapun, Hun tidak akan menolak sekiranya ditawarkan berlakon bersama Daiyan lagi.

"Daiyan wanita yang cukup mengagumkan dan kami berkawan baik. Jika ada lagi tawaran untuk saya berlakon dengannya, sudah tentu terima 'on the spot'.

"Saya mahu hasilkan lebih banyak karya bersama seorang yang komited seperti Daiyan," katanya pada sidang media sempena pelancaran Viu Original W: Two Worlds, iaitu karya adaptasi drama bersiri popular Korea dengan tajuk sama.

Hun mahu hasilkan lebih banyak karya bersama seorang yang komited seperti Daiyan. - Foto IG Hun Haqeem
Hun mahu hasilkan lebih banyak karya bersama seorang yang komited seperti Daiyan. - Foto IG Hun Haqeem

Siri romantik, fantasi dan 'thriller' arahan Datuk Yusry Abdul Halim ini mula ditayangkan hari ini melalui platform penstriman Viu.

W: Two Worlds turut menampilkan Daiyan, Faizal Hussein, Elizabeth Tan, Mierul Aiman, Tony Eusoff dan Shahkimin.

Bercerita mengenai wataknya dalam drama bersiri 12 episod itu, Hun mengakui W: Two Worlds adalah naskhah terbaik yang pernah dibintangi sejak menjadi pelakon.

"Banyak yang saya lakukan untuk drama ini termasuk mengurangkan berat badan sebanyak 12 kilogram (kg) dalam tempoh sebulan.

"Drama ini juga menuntut banyak babak aksi, jadi saya perlu siapkan badan sebelum penggambaran bermula. Kadang-kadang pada hari penggambaran itu sendiri saya akan ke gimnasium sebelum ke lokasi," katanya.

W: Two Worlds berkisar Izara lakonan Daiyan, iaitu seorang doktor muda dan bapanya Omar, yang pelukis siri webtoon popular, W.

Apabila Omar hilang tanpa jejak, pencarian Izara membawa dirinya ke dunia webtoon, di mana dia menyelamatkan nyawa watak utama webtoon terbabit iaitu Aliff (Hun).

Dengan berbuat demikian, Izara mendapati dirinya ditulis ke dalam cerita apabila webtoon itu seakan hidup dan mula berfungsi sebagai realiti yang berbeza.

Aliff yang sedang memburu lelaki yang membunuh keluarganya sepuluh tahun lalu, sedar bahawa nasib Izara dan dirinya saling berkait, tanpa menyedari bahawa dirinya adalah watak dalam sebuah webtoon.

Apabila dua dunia bertembung, pelbagai situasi yang tidak dijangka timbul yang membawa kepada konflik dan kisah percintaan.

Berita Harian X