Khamis, 30 November 2023 | 8:32am
Nas-T membawa watak Keluang Man atau karakter manusia biasa, Borhan dikritik pengikut setia siri animasi popular era 1990-an itu. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Nas-T membawa watak Keluang Man atau karakter manusia biasa, Borhan dikritik pengikut setia siri animasi popular era 1990-an itu. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

'Aktor sasa jadi Keluang Man'

KUALA LUMPUR: Baru mengumumkan barisan pelakon, Selasa lalu, filem animasi yang bakal memulakan penggambaran April tahun depan, Keluang Man, sudah dihujani pelbagai persoalan.

Paling diperkatakan adalah pemilihan aktor sasa, Nas-T sebagai pemegang watak utama iaitu Keluang Man atau karakter manusia biasa, Borhan, yang dikritik pengikut setia siri animasi popular era 1990-an itu.

Ada peminat menganggap pemilihan Nas-T sebagai watak utama kurang sesuai berikutan fizikalnya yang tegap, sedangkan, watak Borhan selama ini digambarkan sebagai pemuda tinggi lampai dan kurus.

Malah, ada peminat mempersoalkan mengapa bukan pelawak dipilih memegang watak Keluang Man kerana pada pandangan mereka, Nas-T memiliki karakter serius yang tidak sesuai dengan personaliti Keluang Man yang dikenali selama ini.

Namun, pengarah filem Keluang Man, Anwari Ashraf mempunyai alasan tersendiri memilih Nas-T daripada lebih 300 sesi uji bakat terbuka yang dikendalikan dalam mencari teraju utama naskhah berkenaan.

Menolak wujud unsur kronisme dalam pemilihan pelakon, Anwari sebaliknya optimis Nas-T paling sesuai membawa watak Keluang Man dan Borhan selepas melalui empat peringkat sesi uji bakat.

"Saya faham ramai yang skeptikal dengan pemilihan Nas-T dan jujurnya, saya juga mempunyai perasaan sama ketika dia menghantar penyertaan tetapi selepas saringan demi saringan, kita harus akui betapa hampirnya Nas-T dengan watak Borhan dan Keluang Man.

"Saya tidak fikir perlukan pelawak. Disebabkan itulah saya tidak pilih dalam kalangan pelawak untuk watak ini. Secara lahiriah, Keluang Man bukan sekadar berlawak," katanya ditemui pada majlis pengumuman barisan pelakon filem animasi Keluang Man, di sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, Selasa lalu.

Anwari Ashraf bersama barisan pelakon ketika majlis pengumuman animasi Keluang Man, di sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, Selasa lalu. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Anwari Ashraf bersama barisan pelakon ketika majlis pengumuman animasi Keluang Man, di sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, Selasa lalu. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Anwari berkata, selain Nas-T, ramai pelakon ternama menghantar video penyertaan, namun dia enggan mendedahkan nama mereka dan dia yakin Nas-T pilihan tepat dalam membawa watak Borhan yang bakal difiksyenkan.

Anwari yang menghasilkan karya hebat seperti trilogi Polis Evo dan mengarahkan drama bersiri trending Projek: High Council berharap peminat siri animasi itu sedia menerima filem yang dianggap jiwanya hampir sama dengan karya asal.

Selain Nas-T, tiga watak utama lain adalah Shamsir yang dibawa Remy Ishak, Ahmad (Datuk Rosyam Nor) dan Inspektor Sahab (Anwar Beg Mughal).

Siri animasi adiwira pertama tanah air ini diilhamkan Allahyarham Kamarudin Ismail atau lebih dikenali sebagai Kamn Ismail.

Diterbitkan Astro Shaw bersama Iconic Animation Studio Sdn Bhd. Dijangka ditayangkan di pawagam tempatan pada 2025.

Berita Harian X