Rabu, 29 November 2023 | 3:02pm
Haziq bersama isteri dan anak selepas menerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif, UUM. - Foto Ihsan FB Haziq
Haziq bersama isteri dan anak selepas menerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif, UUM. - Foto Ihsan FB Haziq

Haziq mahu jadi contoh terbaik untuk anak

KUALA LUMPUR: Mempunyai kerjaya nyanyian selesa bukanlah alasan untuk penyanyi lagu Irama Malaysia, Haziq Rosebi, 35, tidak menyambung pengajian.

Baru sahaja menerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif, Universiti Utara Malaysia (UUM) pada majlis Konvokesyen Ke-36, Haziq berkata, selain demi masa depan, tujuan dia menyambung pengajian adalah kerana mahu menjadi contoh terbaik buat anak-anak.

"Saya memang ada Diploma Bunyi dan Teknologi Muzik dan sambung pengajian di UUM pada 2015 selepas mendapat tawaran. Ketika itu, tinggal beberapa bulan lagi saya nak berkahwin.

"Tak dinafikan, agak mencabar bila kembali belajar kerana pada masa sama, saya terpaksa bergelut dengan kerjaya dan rumah tangga, selain status sebagai pelajar jarak jauh (PJJ).

"Meskipun berdepan cabaran, tetapi saya cekal harunginya kerana saya mahu menjadi penyanyi yang memiliki latar belakang pendidikan dan mahu menjadi contoh terbaik pada anak-anak dan cucu," katanya kepada BH Online.

Penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi program Akademi Fantasia itu turut meluahkan rasa syukur kerana rakan-rakannya banyak membantu untuk memudahkan urusan dalam menimba ilmu.

"Secara kebetulan, ada ramai penggiat seni dari pelbagai bidang dalam kelas. Jadi, saya kena banyak berjumpa dengan ahli kumpulan lain untuk menyiapkan tugasan diberikan. Setiap orang ada kumpulan masing-masing.

"Paling menyeronokkan, kami dapat buat konsert iaitu teater muzikal membabitkan pelajar lain di dewan besar UUM. Itulah momen terbaik kami.

"Untuk projek terakhir, kami kena buat muzik video untuk Kementerian Perpaduan Negara sempena Hari Malaysia. Penggambaran dijalankan di Dataran Merdeka dan sudah disiarkan di kaca televisyen (TV)," cerita penyanyi berasal dari Kluang, Johor ini.

Haziq terima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif UUM pada majlis Konvokesyen Ke-36, baru-baru ini. - Foto Ihsan FB Haziq
Haziq terima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif UUM pada majlis Konvokesyen Ke-36, baru-baru ini. - Foto Ihsan FB Haziq

Mengenai hasrat melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana, pemilik nama lengkap Hazwan Haziq Rosebi itu memaklumkan ia masih dalam pertimbangan.

"Ada juga niat nak sambung sarjana. Kalau nak sambung dan masuk kelas, tempoh pengajian cuma setahun. Tapi, ia ambil masa dua tahun kalau buat kajian.

"Kalau dapat yang tempoh setahun okay juga, tapi kena belajar betul-betul sebab kalau boleh tak mahu sampai kena 'repeat' dan tambah tahun untuk tamat pengajian," kata Haziq.

Antara rakan industri yang turut berjaya menggenggam segulung ijazah bersama Haziq termasuk pengarah, Raja Mukhriz, Tomok, Pekin, Maulana, Ristoe dan ramai lagi.

Berita Harian X