Rabu, 29 November 2023 | 11:04am
Mas Idayu tak menolak kemungkinan bersikap tegas dalam program realiti, FD3 kerana mahu menambah baik kekurangan setiap peserta. - NSTP/Asyraf Hamzah
Mas Idayu tak menolak kemungkinan bersikap tegas dalam program realiti, FD3 kerana mahu menambah baik kekurangan setiap peserta. - NSTP/Asyraf Hamzah

Mas Idayu tegur bukan mahu jatuhkan air muka

KUALA LUMPUR: Setiap teguran dan kritikan diberikan juri tetap program realiti, Famili Duo musim ketiga (FD3), Mas Idayu berdasarkan pengalaman dan tidak berniat menjatuhkan air muka peserta.

Penyanyi dangdut terkenal itu berkata, komentar diberikan ketika mengadili peserta dalam program berkenaan adalah berdasarkan pengalamannya sepanjang bergelar penggiat muzik tanah air.

"Saya berkongsi pengalaman yang mungkin mereka tak pernah lalui. Saya kongsi pengalaman bagus, bukan yang buruk.

"Dengan pengalaman yang ada, saya kongsi dengan adik-adik (peserta) atas pentas. Kadang-kadang kalau saya tegur atau marah, sebenarnya saya sudah melalui perkara itu lebih daripada 30 tahun dalam industri muzik.

"Kalau ada orang cakap, juri bukannya bagus sangat menyanyi, jawapan saya adalah suara atau vokal ini seperti usia. Tak kiralah seseorang penyanyi popular dari negara mana sekalipun, kalau sudah lanjut usia, suara takkan sama seperti ketika muda dahulu.

"Jangan kata menyanyi, bercakap pun akan jadi tak jelas kalau sudah tua. Jadi, apa yang dikongsikan ketika menjadi juri adalah pengalaman dimiliki," katanya ketika ditemui selepas berakhirnya konsert FD3 separuh akhir yang disiarkan secara langsung TV3 dari Studio TV3, Glenmarie, Ahad lalu.

Mas Idayu yang menggalas tugas juri FD3 bersama komposer dan penyanyi, Ajai berharap penonton boleh memahami tugasan mereka. - NSTP/Asyraf Hamzah
Mas Idayu yang menggalas tugas juri FD3 bersama komposer dan penyanyi, Ajai berharap penonton boleh memahami tugasan mereka. - NSTP/Asyraf Hamzah

Pada masa sama, Mas Idayu yang menggalas tugas juri FD3 bersama komposer dan penyanyi, Ajai berharap penonton boleh memahami tugasan mereka.

"Saya harap semua faham kami sebagai juri kongsi pengalaman bagus, bukan yang buruk. Kesimpulannya, kami hanya mahu berikan yang terbaik kepada peserta.

"Kami tiada niat untuk komen sesuka hati atau menjatuhkan mereka," katanya.

Terdahulu, Mas Idayu atau nama sebenar, Mas Idayu Mesnun berkata, mahu mengubah karakter menjadi lemah lembut ketika melaksanakan tugas sebagai juri tetap FD3 yang membuka tirai pada 15 Oktober lalu.

Berita Harian X