Selasa, 28 November 2023 | 10:51pm
Azri mahu tutup buku dan enggan lagi membicarakan soal Dr Azra. - Foto NSTP
Azri mahu tutup buku dan enggan lagi membicarakan soal Dr Azra. - Foto NSTP

Dr Azra tak 'sporting', tak nak gambar keluar, akhirnya saya dituduh gila - Azri

PULAU CAREY: Gara-gara terlalu terbuka berkongsi kisah teman wanitanya yang dikenali sebagai Dr Azra hingga menjadi bahan perdebatan dalam media sosial, pelakon Azri Iskandar mendedahkan dimarahi rakan industri, Azhar Sulaiman.

Berkongsi lanjut, Azri atau nama sebenarnya, Azri Iskandar Zulkiffly Iskandar, 55, memaklumkan pelakon Keluarga Iskandar The Movie itu melarangnya berbuat demikian merana tidak mahu terus dikecam, sekali gus dimalukan.

"Azhar marah dan tanya kenapa saya cerita soal sudah ada teman wanita kepada umum.

"Dia kata kalau sempat jumpa saya, dia takkan bagi saya bercakap (hal itu).

"Azhar hanya benarkan saya bercerita jika nak kahwin atau sudah berkahwin dengan Dr Azra.

"Dia larang sebab tak mahu saya kena kecam hanya kerana tidak mendedahkan gambar Dr Azra dan mendakwa wanita itu tidak wujud.

"Sedangkan, Dr Azra tak sporting dan tak nak sokong saya sebab enggan gambarnya keluar hingga saya dituduh gila.

"Azhar tak sanggup melihat saya seorang diri berdepan dengan situasi itu," katanya kepada BH Online.

Tambah pelakon filem Penanggal itu, dia mahu menutup buku dan enggan lagi membicarakan soal peribadi.

"Saya tak pasti sama ada saya masih lagi dengan Dr Azra. Selepas ini, saya sudah tidak mahu lagi bercerita soalnya.

"Lagipun, perkara ini akan sama sahaja. Netizen tetap akan mempertikaikan dan mengatakan saya gila dan berkahwin dengan orang bunian.

"Jadi, saya nak tutup buku, Saya tak nak kena marah dengan Azhar. Nanti saya dianggap degil," katanya ditemui di lokasi penggambaran telefilem Rumah Pontianak arahan Asri Bay'u, di sini, hari ini.

Bekas suami kepada pengarah dan pelakon Ellie Suriaty itu bagaimanapun berjanji tidak akan menyembunyikan jika ditakdirkan bertemu jodoh, suatu hari nanti.

"Saya seorang yang terbuka dan kalau betul saya akan berkahwin, saya takkan sorok dan tetap akan undang media.

"Malah, ada stesen TV berjanji nak buat siaran langsung majlis perkahwinan saya," ujarnya.

Sebelum ini, Azri mengakui mula tawar hati terhadap Dr Azra memandangkan semakin kurang berhubung.

Pada 29 Jun tahun lalu, Azri mendedahkan bertunang dengan kekasihnya dikenali sebagai Dr Azra di kediaman wanita itu di Kangar, Perlis.

Pasangan ini sepatutnya melangsungkan perkahwinan penghujung tahun lalu dan sudah beberapa kali menangguhkan perkahwinan.

Berita Harian X