Selasa, 28 November 2023 | 4:52pm
Riezman berkongsi, agak mustahil membatalkan Konsert Milenia kerana sudah mengeluarkan bajet besar untuk peringkat pra produksi. - - NSTP/Aswadi Alias
Riezman berkongsi, agak mustahil membatalkan Konsert Milenia kerana sudah mengeluarkan bajet besar untuk peringkat pra produksi. - - NSTP/Aswadi Alias

Rugi RM500,000 jika batal Konsert Milenia

PETALING JAYA: Selepas tiga kali ditunda, penganjur Konsert Milenia 2023 mendedahkan ada pihak mendesak untuk membatalkan penganjuran konsert yang mengetengahkan irama dangdut itu.

Pengarah Projek Mission Sight Sdn Bhd, Riezman Khuzaimi berkata, keputusan itu agak sukar dilaksanakan kerana perlu mendapat persetujuan rakan kongsinya.

"Memang ramai yang cadangkan Konsert Milenia 2023 dibatalkan selepas sering ditangguhkan. Kalau saya seorang buat keputusan, tak mengapa, tapi ini turut membabitkan rakan kongsi.

"Lagipun, kalau nak cakap soal batal, ia membabitkan kewangan. Kalau rakan kongsi tak setuju nak batal, kenalah ikut juga," katanya kepada BH Online.

Konsert Milenia 2023 yang dijadualkan berlangsung pada 25 November ini di Stadium Malawati Shah Alam akan ditangguhkan sehingga ke satu tarikh lain yang akan diumumkan kelak.

Dalam pada itu, Riezman menambah, agak mustahil untuk membatalkan konsert kerana sudah mengeluarkan bajet besar untuk peringkat pra produksi.

"Kalau konsert ini dibatalkan juga, kami akan mengalami kerugian sekitar RM500,000. Itu tak termasuk kerugian dialami akibat ditipu perunding acara sebelum ini.

"Jumlah ini berikutan kami terpaksa membuat balik urusan publisiti di stesen radio. Tak sangka pula berlaku perkara yang tak dijangka membuatkan konsert ini terpaksa ditunda," ujarnya.

Riezman bersama barisan pelakon ketika sidang media tayangan filem Syif Malam di Damansara Utama, semalam. - NSTP/Aswadi Alias
Riezman bersama barisan pelakon ketika sidang media tayangan filem Syif Malam di Damansara Utama, semalam. - NSTP/Aswadi Alias

Sementara itu, pelakon filem Tanda Putera itu turut menjelaskan tindakan menangguhkan konsert itu juga kerana tidak mahu dilihat seperti menyimbah minyak ke dalam api yang sedang marak.

"Kalau ikutkan boleh sahaja nak teruskan konsert, tapi saya tak mahu perkara itu nanti diperbesarkan netizen. Malah, saya juga tak sanggup kena kecam.

"Bukanlah nak kata saya 'koyak' kerana sebagai artis saya sudah lali dengan kecaman dan sudah tahu bagaimana nak hadapi situsi itu. Selama ini, apa yang kita buat pun, baik atau buruk tetap kena kecam.

"Cuma saya tak mahu netizen tambah dosa dengan kecaman yang dilemparkan. Tak larat nak lihat mereka terus menanggung dosa dan tak mahu perkara ini meleret-leret. Lihat sahaja apa yang berlaku pada konsert Coldplay," jelasnya.

Ditanya apakah penangguhan itu ada kaitan dengan sambutan dingin diterima, Riezman menafikan perkara itu.

"Muzik dangdut masih lagi relavan dan akan terus bertahan kerana ia adalah genre muzik. Setakat ini, kami sudah menjual sekitar 1,000 tiket. Kami sebenarnya tak kisah pun sama ada konsert ini laku atau tidak.

"Walaupun penonton tak ramai. Kami tetap akan teruskan konsert kerana kami mahu akhiri apa yang sudah dimulakan," ujar Riezman.

Untuk rekod, konsert yang bakal menampilkan artis dari dua negara serumpun iaitu Baby Shima, Ani Mayuni, Siti Badriah, Fitri Carlina, Hesty Klepek Klepek dan Rhena Morena ditunda demi menghormati penderitaan dan keperitan rakyat Palestin akibat kekejaman Zionis Israel.

Terdahulu, Riezman ditemui pada majlis sidang media tayangan filem Syif Malam yang diadakan di Damansara Utama, di sini, malam tadi.

Selain Riezman filem arahan Fairus Anuar atau Apai itu turut dibintangi Zera Hariz, Anas Ridzuan, Shah Kimin, Kamarul Eqifshah, Ismeth dan ramai lagi.

Diterbitkan oleh Empire Film Solutions Sdn Bhd dan Thinkerbell Studios Sdn Bhd, filem Syif Malam akan mula menemui khalayak bermula 7 Disember ini.

Berita Harian X