Selasa, 28 November 2023 | 3:03pm
Aina bersyukur akhirnya impian mengadakan konsert solo di Singapura dimakbulkan, lantas menjadi konsert pertama di luar negara. - NSTP/Hazreen Mohamad
Aina bersyukur akhirnya impian mengadakan konsert solo di Singapura dimakbulkan, lantas menjadi konsert pertama di luar negara. - NSTP/Hazreen Mohamad

Aina Abdul gegar Singapura

KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan tiga konsert solo di Malaysia, penyanyi popular, Aina Abdul akan terbang ke Singapura menjayakan konsert solo pertamanya di seberang tambak.

Bertempat di The Theatre at Mediacorp yang boleh memuatkan 1,800 kapasiti penonton, Aina akan beraksi dalam Konsert A Night With Aina Abdul Live In Singapore pada 6 Januari tahun depan.

Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani berkata dia bersyukur akhirnya impian mengadakan konsert solo di Singapura dimakbulkan, lantas menjadi konsert pertamanya di luar negara.

"Akhirnya, saya akan bertemu empat mata dengan peminat di Singapura. Syukur, impian jadi kenyataan dengan kerjasama bersama Neptune Presents.

"Ini adalah konsert pertama saya di luar negara dan disebabkan itu, saya tak berani adakan di lokasi besar, saya kena 'test market' dahulu.

"Konsert kali ini lebih mencabar, saya takut sebenarnya. Disebabkan itu, persediaan sudah dilakukan sejak tiga bulan lalu.

"Kalau nak kata impian, memang nak buat konsert di Singapura sudah lama dan ke sana dua kali, tapi menyanyi pada acara artis lain. Kali ini, ia adalah satu penghormatan buat saya dapat adakan konsert di Singapura.

"Secara kebetulan, ini adalah 'wishlist' saya. Saya sebenarnya tengok konsert saya terdahulu dihadiri ramai peminat dari Singapura dan Brunei," katanya kepada BH Online.

Aina ditemui pada sidang media Konsert Night With Aina Abdul Live In Singapore di Menara Kuala Lumpur, semalam.

Katanya, dia ingin bermula dengan Singapura terlebih dahulu berikutan ramai peminat menyampaikan salam dari negara itu ketika konsert, baru-baru ini.

"Ada ramai peminat menyampaikan salam dari teman di Singapura yang tak dapat hadir. Jadi, saya merasakan tanggungjawab saya sebagai anak seni untuk ke seberang tambak bagi menghargai mereka," ujarnya.

Aina berkata, Konsert A Night With Aina Abdul Live In Singapore anjuran Neptune Presents dengan kerjasama Aina Abdul Entertainment itu akan dihiburkan dengan 26 rangkaian lagu popular menerusi konsert berdurasi selama dua jam 30 minit itu.

Aina bakal beraksi dalam Konsert A Night With Aina Abdul Live In Singapore di The Theatre at Mediacorp pada 6 Januari tahun depan. - NSTP/Hazreen Mohamad
Aina bakal beraksi dalam Konsert A Night With Aina Abdul Live In Singapore di The Theatre at Mediacorp pada 6 Januari tahun depan. - NSTP/Hazreen Mohamad

Lebih hebat, persembahannya akan diiringi 15 pemuzik profesional yang diterbangkan dari Malaysia di bawah pimpinan pengarah muzik tersohor, Mac Chew.

"Untuk susunan muzik masih menggunakan pengarah muzik sama, Mac Chew kerana mereka sudah mengenali cita rasa saya. Dengan itu, pastinya ada elemen kejutan di Singapura nanti.

"Mac Chew akan menggunakan formula agak berbeza, di mana ada lagu yang belum pernah saya nyanyikan akan dipersembahkan buat peminat di sana.

"Namun, dari sudut susunan muzik, saya tidak letakkan konsert di Singapura akan lebih baik, tapi setiap kali buat konsert atau persembahan, saya akan letak standard kerana percaya peminat mahu yang terbaik.

"Saya mahu sediakan yang terbaik sebab mereka mengikuti saya dari konsert 1.0 lagi, walaupun lagu tak sebanyak konsert di sini, tapi tetap yang terbaik.

"Bagi saya, jumlah lagu bukan nilainya, tapi apa yang penting pengisiannya," katanya.

Sementara itu, penganjur konsert yang juga aktres, Nabila Huda berkata, Aina adalah artis tempatan pertama dilamar Neptune Presents untuk konsert solo di seberang tambak.

"Saya dan suami, Mohd Izwan Johar memilih Aina atas permintaan peminat di Singapura. Saya percaya Aina sudah layak beraksi di luar negara dengan populariti, kehebatan suara dan imej yang ditampilkan.

"Tentunya banyak kejutan yang bakal dilakukan pada konsert ini nanti. Selain busana diperagakan, Aina juga bakal melakukan kejutan dengan berduet

dengan penyanyi undangan, khas buat peminat di Singapura," katanya.

Nabila berkata, pada awalnya, dia dan Aina mahu meneruskan Konsert A Night With Aina Abdul yang pernah mencipta sejarah di Kuala Lumpur.

"Bagaimanapun, kami bersetuju menukar nama kepada A Night With Aina Abdul Live In Singapore kerana ini adalah konsert solo pertama Aina di Kota Singa. Untuk tampil kelainan, Aina akan membawakan beberapa lagu istimewa buat peminatnya," katanya.

Tambah Nabila, setiap konsert Aina pasti disulami dengan gimik, begitu juga konsert di Singapura.

Berita Harian X