Isnin, 27 November 2023 | 4:33pm
Megat memperjuangkan A.C.A.B bersama anggota kumpulan, Eddy J, Anas dan Zul sejak 1994. - NSTP/Aziah Azmee
Megat memperjuangkan A.C.A.B bersama anggota kumpulan, Eddy J, Anas dan Zul sejak 1994. - NSTP/Aziah Azmee

A.C.A.B mahu bayaran lima angka untuk persembahan

KUALA LUMPUR: Kumpulan rock indie, A.C.A.B hanya akan menerima dan bersetuju untuk memenuhi undangan persembahan sekiranya bayaran diterima mencecah lima angka.

Penyanyi dan pemain gitar utama, Megat Hafiz, 45, berkata tanda harga yang diletakkan itu disifatkan sebagai nilai semasa A.C.A.B yang sudah bertapak dan mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam industri muzik underground.

"Zaman dahulu dan sekarang sudah jauh beza. Kami bermain muzik bermula bayaran hanya beberapa ringgit.

"Sekarang sudah jauh beza, sekurang-kurangnya perlu ada belasan atau puluhan ribu. Harga ribuan juga bukan lagi harga zaman sekarang.

"A.C.A.B hanya akan ambil bayaran lima angka untuk undangan persembahan. Berbanding dahulu, bayaran kami hanya ratusan sahaja," katanya kepada BH Online.

Pada masa sama, Megat yang memperjuangkan A.C.A.B bersama anggota kumpulan lain iaitu Eddy J selaku gitaris, Anas (bes) dan Zul (dram) sejak 1994 berkata, tawaran persembahan diterima masih lebat.

"Kami bermula bayaran ratusan ringgit sahaja, tapi sekarang sudah mencecah puluhan ribu. Penganjur masih membayar kami dengan jumlah ini.

"Dengan usia kumpulan mencecah 30 tahun, banyak tawaran tinggi yang datang.

"Kadang-kadang ada harga yang kami berikan, tapi penganjur yang mengundang serba salah kerana rasa bayaran sikit," katanya ketika ditemui pada sidang media Bangun Showcase 2023 sempena 30 tahun A.C.A.B di Timeless Studio, baru-baru ini.

Megat berkongsi tanda harga diletakkan sebagai nilai semasa A.C.A.B yang sudah bertapak sejak 30 tahun lalu dalam industri muzik underground. - NSTP/Aziah Azmee
Megat berkongsi tanda harga diletakkan sebagai nilai semasa A.C.A.B yang sudah bertapak sejak 30 tahun lalu dalam industri muzik underground. - NSTP/Aziah Azmee

Ditanya mengenai tawaran persembahan, Megat berkata, A.C.A.B masih menerima antara tiga hingga empat tawaran dalam tempoh sebulan.

"Kalau dalam sebulan ada tiga atau empat undangan persembahan, tapi tak tentu juga. Tapi, sekurang-kurangnya perlu ada satu dalam sebulan," katanya.

Sementara itu, mengulas Bangun Showcase 2023 anjuran A.C.A.B Productions dengan kerjasama Timeless Studio, Megat berkata, mereka akan memainkan set penuh daripada album Bangun yang majoritinya tidak pernah dipersembahkan secara langsung.

"A.C.A.B tak sabar mempersembahkan lagu-lagu daripada album Bangun secara langsung buat kali pertama. Semasa album ini keluar pada 2004, saya sudah ke United Kingdom (UK) untuk sambung pengajian, jadi tak sempat dipromosikan.

"Sempena A.C.A.B yang menginjak usia 30 tahun, tahun depan, kami mahu meraikannya bersama peminat dengan memainkan album Bangun secara langsung," katanya.

Bangun adalah satu-satunya album penuh bahasa Melayu daripada A.C.A.B yang menyaksikan evolusi bunyian ke arah heavy metal dengan gaya agresif Eastern Oi!, sekali gus menjadikannya perubahan untuk penggiat Oi! dan Punk tempatan ketika ia dilancarkan pada 2004.

A.C.A.B ditubuhkan pada penghujung 1994 dikenali sebagai kumpulan skinhead dan Oi! Malaysia yang terawal.

Kumpulan itu mencipta jenama, gaya dan genre tersendiri yang dikenali sebagai Eastern Oi!, manakala lagu berjudul Skinhead 4life tersebar ke seluruh dunia sehingga dimainkan beberapa kumpulan dari pelbagai negara termasuklah Eropah dan Amerika Latin.

Berita Harian X