Isnin, 27 November 2023 | 4:23pm
Konsert Stars On Fire tangguh atas sebab yang tidak dinyatakan.
Konsert Stars On Fire tangguh atas sebab yang tidak dinyatakan.

Konsert Stars On Fire tangguh

kUALA LUMPUR: Atas sebab yang tak dapat dielakkan, Stars On Fire Kuala Lumpur Live In Concert yang bakal menghangatkan Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini, pada 1 Disember ini terpaksa ditangguhkan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini, penganjur konsert, Yess Boss Group memaklumkan pihaknya sedang mencari tarikh baharu yang sesuai untuk penganjuran konsert itu.

"Pemegang tiket yang dihormati, dukacita dimaklumkan bahawa acara amat dinantikan, Stars On Fire Kuala Lumpur Live In Concert yang sepatutnya berlangsung pada 1 Disember ini terpaksa ditangguhkan atas sebab yang tak dapat dielakkan.

"Kami sedang berusaha untuk mendapatkan tarikh baharu dengan artis.

"Kami memahami kesulitan yang timbul dan memohon maaf atas gangguan terhadap sebarang perancangan yang sudah disusun awal," kata penganjur.

Sementara itu, penganjur juga memberi jaminan akan memulangkan semula bayaran tiket susulan penangguhan itu.

"Memandangkan acara itu ditangguhkan, kami sudah memperkemaskan proses bayaran balik dengan kerjasama ejen tiket.

"Sekiranya anda mempunyai sebarang soalan atau kemusykilan mengenai proses bayaran balik, sila hubungi pasukan sokongan pelanggan ejen tiket.

"Kami amat menghargai sokongan anda yang tidak berbelah bahagi," ujarnya.

Stars On Fire Kuala Lumpur Live In Concert menampilkan barisan bintang Bollywood diketuai aktor terkenal, Hrithik Roshan.

Hrithik bakal ditemani koreografer tarian dan pengarah, Prabhu Deva, pada acara itu.

Pelakon yang terkenal dengan filem Kabhi Khushi Kabhie Gham itu akan menampilkan persembahan dengan diiringi barisan penari serta koreografi tarian dan persembahan pentas yang penuh warna bersama kehadiran pelakon jelita seperti Vaani Kapoor, Maliaka Arora serta Sanya Malhotra.

Berita Harian X