Isnin, 27 November 2023 | 2:37pm
Perkenalan Amylea dan Ash bermula dalam media sosial sejak beberapa bulan lalu, sebelum dilamar sebagai isteri.
Perkenalan Amylea dan Ash bermula dalam media sosial sejak beberapa bulan lalu, sebelum dilamar sebagai isteri.

Amylea bergelar isteri kepada pegawai Bomba

KUALA LUMPUR: Penyanyi Amylea Azizan, 37, kini bergelar isteri kepada pegawai bomba dari Singapura, Mohammad Aqbar Mohamad, 40, namun enggan mendedahkan tarikh pernikahan.

Dengan sekali lafaz, Amylea dan Mohammad Aqbar atau Ash disatukan pada majlis akad nikah di rumah keluarga Amylea di Sungai Petani, Kedah.

Dalam majlis secara tertutup, Amylea menerima mas kahwin senaskhah al-Quran, telekung dan hantaran bernilai RM8,888.

Angka itu dipilih sebagai lambang cinta infiniti dua pasangan sejoli itu.

Sementara itu, majlis resepsi pula dijangka bakal berlangsung pada 27 Januari tahun depan.

Amylea menerusi kenyataan media bersyukur kini bergelar isteri.

Katanya, tanpa disangka perkenalan secara singkat itu berakhir ke jenjang pelamin.

"Sebenarnya, saya belum bersedia mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.

Namun, kuasa Allah mengatasi segala-galanya.

"Perkenalan saya dengan suami bermula dalam media sosial sejak beberapa bulan lalu. Bila selesa berkawan, suami terus melamar saya.

"Suami buat keputusan selepas mendapat petanda baik daripada solat istikharah dan terus berjumpa keluarga saya," katanya.

 Amylea dan Ash disatukan pada majlis akad nikah di rumah keluarga Amylea di Sungai Petani, Kedah, namun enggan dedah tarikh nikah.
Amylea dan Ash disatukan pada majlis akad nikah di rumah keluarga Amylea di Sungai Petani, Kedah, namun enggan dedah tarikh nikah.

Mengakui tenang sejak kehadiran suami, Amylea berkata, dia tak pernah setenang ini sejak Ash hadir dalam hidupnya.

Sementara itu, Ash menyifatkan Amylea sebagai wanita bijak dan serba serbi tahu mengenai segala perkara membuatkannya tertarik.

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini, mereka terpaksa melalui kehidupan jarak jauh kerana tugasnya sebagai pegawai bomba di Singapura.

"Amylea faham situasi ini dan kami sedang mencari jalan bagaimana boleh hidup sebumbung seperti pasangan lain.

"Perkara ini berlaku terlalu pantas. Saya juga tidak sangka perkenalan singkat diakhiri dengan penyatuan cinta yang indah," katanya.

Sempena pernikahan, Amylea tampil dengan single baharu berjudul Panji Putih Buat Pangeran didedikasikan khas buat suaminya.

Amylea berkata, lagu itu dicipta sebagai tanda cinta yang akan kekal hingga akhir hayat dan dapat didengari oleh anak cucu suatu masa nanti.

"Lagu ini berkisarkan kedegilan hati saya yang merasakan hidup sudah berakhir.

"Panji Putih ibarat saya mengalah dengan bendera putih. Dan Pangeran pula sebagai tanda Ash sebagai orang barisan hadapan yang kerjanya saya hormat dan pandang tinggi.

"Ash meminati unsur tradisional, jadi saya gabungkan citarasa kami dengan menghasilkan lagu ini dalam genre keroncong moden," ujarnya.

Panji Putih Buat Pangeran akan dilancarkan pada penghujung Disember depan.

Berita Harian X