Isnin, 27 November 2023 | 12:07pm
Kang Ren diangkat sebagai Aktor Terbaik, Anugerah Golden Horse Ke-60 menerusi filem produksi Malaysia, Abang Adik.
Kang Ren diangkat sebagai Aktor Terbaik, Anugerah Golden Horse Ke-60 menerusi filem produksi Malaysia, Abang Adik.

Wu Kang Ren menang Aktor Terbaik menerusi filem Abang Adik

KUALA LUMPUR: Pelakon dari Taiwan, Wu Kang Ren diangkat sebagai Aktor Terbaik, Anugerah Golden Horse Ke-60 menerusi filem sulung arahan sutradara kelahiran Taiping, Perak, Jin Ong berjudul Abang Adik.

Diumumkan pada majlis yang berlangsung di Sun-Yat Sen Memorial Hall, Taipei, Taiwan pada Sabtu lalu, Kang Ren dalam ucapannya berkata, dia berterima kasih pada pasukan produksi di Malaysia terutamanya Jin Ong atas peranan diberikan dalam menjayakan filem Abang Adik.

"Terima kasih kepada semua pekerja di Malaysia, anda semua menakjubkan. Terima kasih juga kepada penerbit, Xinjie.

"Terima kasih membuka hati dan berkongsi pengalaman hidup bersama saya. Terima kasih mengajar saya berlakon menggunakan mata saya," katanya yang menghidupkan watak anak yatim piatu yang hidup susah tanpa dokumen.

Kang Ren turut berterima kasih kepada pelakon gandingannya di Malaysia, Jack Tan kerana menjaganya ketika menjalani penggambaran dan membantunya mengatasi kekangan bahasa.

Abang Adik adalah filem tempatan yang menggambarkan kehidupan di sebuah sudut tersembunyi di Kuala Lumpur.

Ia berkisarkan kehidupan dua anak yatim piatu tanpa dokumen yang tinggal di Pudu, iaitu kawasan yang terkenal dengan pasar basah.

Latar filem di kawasan Kuala Lumpur yang kurang dikenali menambahkan keaslian dan keunikan naratifnya, menjadikannya ia satu naskhah penting dalam industri perfileman Malaysia.

Kang Ren berterima kasih kepada pelakon gandingannya di Malaysia, Jack Tan kerana menjaganya ketika menjalani penggambaran dan membantunya mengatasi kekangan bahasa.
Kang Ren berterima kasih kepada pelakon gandingannya di Malaysia, Jack Tan kerana menjaganya ketika menjalani penggambaran dan membantunya mengatasi kekangan bahasa.

Abang Adik bakal ditayangkan di pawagam tempatan pada 14 Disember depan.

Selain Aktor Terbaik, Abang Adik yang turut dibintangi oleh Bront Palarae itu juga dicalonkan dalam enam kategori lain di Anugerah Golden Horse Ke-60 iaitu kategori Pengarah Baharu Terbaik; Aktor Pembantu Terbaik; Pelakon Baharu Terbaik; Sinematografi Terbaik; Lagu Asal Terbaik dan Solekan & Kostum Terbaik.

Sebelum ini, Abang Adik pernah meraih beberapa penghargaan di peringkat global.

Pada Mac lalu, filem Abang Adik ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Fribourg Ke-37 di Switzerland berjaya memenangi dua trofi, iaitu hadiah penonton dan Anugerah Juri Ekumenikal.

Abang Adik turut melakar sejarah apabila memenangi tiga anugerah utama pada Far East Film Festival Ke-25 di Udine, Itali pada April lalu.

Naskhah itu berjaya membawa pulang trofi Golden Mulberry, Black Dragon Critics dan Anugerah White Mulberry untuk filem cereka terbaik.

Ia juga kali pertama dalam sejarah filem Asia Tenggara berjaya memenangi tiga anugerah sepanjang penganjuran Far East Film Festival.

Pada Ogos lalu, filem Abang Adik muncul filem Malaysia pertama memenangi Filem Cereka Terbaik pada Festival Filem Asia New York dan mengungguli kategori Persembahan Terbaik, First Filem Festival di China, Julai lalu.

Berita Harian X