Isnin, 27 November 2023 | 8:31am
Tanaka dan Bea bersama barisan pelakon ketika malam gala filem magiK, baru-baru ini. - NSTP/Hazreen Mohamad
Tanaka dan Bea bersama barisan pelakon ketika malam gala filem magiK, baru-baru ini. - NSTP/Hazreen Mohamad

Gabungan idea suami isteri dalam magik

KUALA LUMPUR: Sebagai usaha menyelami kelebihan dan keistimewaan golongan masalah pendengaran, syarikat produksi, 42nd Pictures Sdn Bhd yang diterajui pasangan suami isteri, Yasu Tanaka dan Bea Tanaka tampil dengan filem berjudul magiK.

Filem bergenre drama, keluarga dan fantasi arahan Tanaka itu menampilkan barisan pelakon seperti Beto Kusyairy, Nadia Aqilah, Nam Ron, Ruminah Sidek, Roy Azman, Kamarul Eqifshah dan bintang cilik, Qisya Hairulzain.

Sebelum ini, Tanaka tampil dengan filem Nota yang mengangkat pelakon utamanya, Maya Karin sebagai Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Skrin pada 2016.

Untuk filem keduanya, Tanaka berkata, ia bukan hanya sekadar mengangkat kisah gadis pekak yang mampu berkomunikasi dengan kelip-kelip, malah menjadi medium untuk penonton mendekati golongan berkenaan.

Bagi menjayakan filem itu, Tanaka berterima kasih kepada bintang utamanya, Qisya yang berjaya menghidupkan watak gadis pekak dengan baik.

"Mungkin ramai yang ingin tahu bagaimana saya menemui Qisya. Qisya adalah anak kepada pelakon, Amanda Misbun.

"Saya minta datang uji bakat dan bila bertemunya buat kali pertama, saya nampak Qisya sangat pemalu, pendiam dan tenang.

"Sebelum ini, saya pernah menjalankan uji bakat bersama kanak-kanak lain dan selalunya mereka sangat aktif, tapi Qisya sangat berbeza.

"Saya cuba kekalkan perwatakannya sepanjang penggambaran, malah berpesan pada kru supaya jangan kacau Qisya di lokasi.

"Jadi, Qisya kekal fokus dan tenang sepanjang penggambaran. Qisya memainkan karakter dan mendengar arahan saya dengan baik. Saya bersyukur ditemukan dengan pelakon kanak-kanak berbakat besar yang sangat hargai komitmennya," katanya kepada BH Online.

Berkongsi cabaran, Tanaka berkata, cuaca antara perkara yang memberikan kesukaran buat produksi memandangkan penggambaran dijalankan di sungai dan

hutan.

"Kami menjalankan penggambaran di tepi sungai, jadi memang risau sekiranya hujan. Pernah juga hujan sebelum penggambaran, jadi ia memberi kesan, apatah lagi, ketika itu penggambaran dalam hutan.

"Namun, kami bertuah kerana tidak selalu hujan sepanjang penggambaran," katanya.

Dalam pada itu, Tanaka berkata, pihaknya berterima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan warga Kuala Selangor atas sokongan diberikan untuk menjayakan filem magiK.

"Saya berterima kasih kepada FINAS atas sokongan dengan Dana Kandungan Digital (DKD) penerbitan dan pemasaran filem magiK.

"Kami juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada warga Kuala Selangor khususnya, penduduk Kampung Kuantan atas kerjasama dan sokongan ketika penggambaran," katanya.

Tanaka (kanan) bersama isterinya, Bea dan pelakon utama magiK, Beto.
Tanaka (kanan) bersama isterinya, Bea dan pelakon utama magiK, Beto.

Sementara itu, penerbit, Bea berkata, dia mengambil masa setahun untuk merencanakan perjalanan filem daripada penyediaan skrip hingga penghasilan 'storyboard'.

"Kami bersyukur menerima DKD untuk menghasilkan filem magiK. Jadi, kami dapat menghabiskan penggambaran dalam tempoh 30 hari tanpa tambahan, tahun lalu.

"Jujurnya, magiK adalah satu projek sangat dekat dengan jiwa kami. Saya sudah lama mengimpikan menghasilkan filem mengenai insan yang mengalami masalah pendengaran, iaitu sejak awal perkahwinan saya dan Tanaka lagi.

"Namun, saya tak tahu nak kongsi kisah apa dan tiada idea. Kemudiannya, Tanaka tampil dengan idea selepas kami ke Kuala Selangor melihat kelip-kelip. Selepas melihat kelip-kelip terus tercetus idea, jadi kami gabungkan tema masalah pendengaran dan kelip-kelip.

"Disebabkan itu, Kuala Selangor adalah satu-satunya lokasi yang sesuai untuk sampaikan kisah ini," katanya.

Bea adalah bekas guru pendidikan khas untuk golongan masalah pendengaran selama 15 tahun dan masih akrab dengan golongan istimewa itu.

Sebelum ini, tayangan khas magiK sudah diadakan di beberapa lokasi terpilih di seluruh Malaysia selama dua bulan pada September dan Oktober lalu, sebelum ditayangkan di pawagam pada 30 November ini.

Bea berkata, tujuan tayangan khas untuk berkongsi filem magiK dengan penonton.

"Kami mahu menampilkan kelainan untuk masyarakat luar bandar termasuk golongan masalah pendengaran supaya dapat menonton filem ini.

"Versi yang ditayangkan untuk tayangan khas ini ialah versi 'closed caption' yang memudahkan penonton dari komuniti masalah pendengaran.

"Filem magiK memaparkan masyarakat Kampung Kuantan, Kuala Selangor, Selangor dan kami mahu mendekati golongan sasaran seperti masyarakat luar bandar menerusi konsep tayangan khas ini," katanya.

magiK memaparkan Kit, gadis pekak berusia 7 tahun yang tinggal di sebuah perkampungan yang terkenal dengan kelip-kelip.

Ibu bapanya bergelut dengan masalah kewangan kerana bapanya hanya bekerja sebagai pendayung yang membawa pelancong melihat kelip-kelip.

Ibunya mahu Kit belajar bahasa isyarat dan pergi ke sekolah, namun, Kit tidak berani berkomunikasi dengan orang ramai kerana lebih cenderung untuk hidup dalam dunia yang dikelilingi alam semula jadi.

Namun, semuanya mula berubah apabila Kit bertemu dengan kelip-kelip yang seolah-olah berkomunikasi dengannya berkelip dan terbang dengan cara tertentu.

Berita Harian X