Sabtu, 25 November 2023 | 6:01pm
Ben masih belum menemui gadis istimewa untuk dijadikan calon isteri. - Foto IG Ben Amir
Ben masih belum menemui gadis istimewa untuk dijadikan calon isteri. - Foto IG Ben Amir

Ben cari calon isteri pandai masak ayam merah

KUALA LUMPUR: Pelakon Ben Amir, 33, mendedahkan dihujani mesej langsung (DM) daripada peminat wanita yang ingin menghantar makan kegemarannya iaitu ayam masak merah.

Semuanya gara-gara pendedahan dibuat Ben menerusi program Studio Sembang kendalian Amelia Henderson di laman YouTube mengenai kriteria wanita idamannya yang pandai memasak terutama ayam masak merah.

"Memang ramai hantar mesej di Instagram dan aplikasi X nak hantar ayam masak merah.

"Tapi saya anggap ia hanyalah sekadar usikan dan gurauan, tiada apa yang serius pun," katanya ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta baju Melayu, Eastana Exclusive, baru-baru ini.

Bercakap soal teman hidup, Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) edisi 33 dan 34 itu berkata, kesibukan kerjaya lakonan yang tidak henti-henti menyebabkannya tidak memiliki masa memikirkan soal hati.

Ben anggap peminat sekadar bergurau apabila mahu menghantar ayam masak merah. - Foto IG Ben Amir
Ben anggap peminat sekadar bergurau apabila mahu menghantar ayam masak merah. - Foto IG Ben Amir

Kata Ben, dia masih belum menemui gadis istimewa dijadikan calon isteri.

"Setakat ini, belum jumpa, lagipun saya tengah sibuk penggambaran. Manalah ada masa nak cari jodoh.

"Walaupun ramai rakan seangkatan sudah berkahwin, tapi saya tak mahu terburu-buru untuk ikut jejak mereka.

"Buat masa ini, saya masih seronok dengan kehidupan solo. Banyak lagi benda yang saya nak buat, antaranya mengembara.

"Sesetengah orang mungkin perlukan seseorang untuk teruskan hidup atau mahu rasa disayangi, tapi saya tak perlukannya untuk hiburkan hati," kata pelakon drama Chandelier itu.

Ditanya kriteria gadis pilihannya, Ben akui seorang yang selektif.

Katanya, dia mahukan wanita yang merendah diri, pandai menjaga batas, berpendidikan, memiliki sifat keibuan dan lemah lembut.

"Nak cari teman hidup kenalah selektif kerana kita nak hidup bersama sampai bila-bila," katanya lagi.

Berita Harian X