Sabtu, 25 November 2023 | 3:02pm
Sebagai cara mengubati hati yang terluka, Cakra mendengar lagunya sendiri dan mampu membuatkannya menjadi lebih tenang. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Sebagai cara mengubati hati yang terluka, Cakra mendengar lagunya sendiri dan mampu membuatkannya menjadi lebih tenang. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Hati Cakra Khan hancur putus cinta

KUALA LUMPUR: Di sebalik wajah ceria dan sikap positif sering dipamerkan penyanyi popular dari Indonesia, Cakra Khan, jauh di lubuk hati menyimpan luka begitu mendalam sehingga pernah berada dalam fasa seolah-olah dirinya hancur.

Mengakui pernah berdepan episod kekecewaan apabila hubungan cinta yang dijalin dengan insan tersayang tidak dapat diteruskan sehingga akhirnya terlerai di tengah jalan.

Namun, jejaka berusia 31 tahun ini percaya luka di hati dan segala kekecewaan yang menyelubungi dirinya akan beransur pergi seiring waktu, selagi yakin bahawa perjalanan hidup sudah disusun cantik.

"Saya pernah merasakan hati ini seolah-olah hancur dan itu juga adalah sebahagian daripada kisah hidup saya. Banyak hal berlaku kepada saya terutama tahun lalu, cuma saya nampak banyak juga hikmah yang boleh diambil.

"Mahu atau tidak saya perlu bangkit kerana tidak ada jalan lain. Cara saya untuk bangkit adalah perlu menerima sahaja sesuatu perkara dengan hati terbuka.

"Kalau rasa jatuh, turuti sahaja dahulu kerana suatu saat semuanya pasti akan baik-baik sahaja. Kadang-kadang kalau kita terlalu lari daripada masalah, itu sama sekali tidak akan menyelesaikan masalah yang sedang dilalui.

"Jadi, cara saya kembali bangkit daripada masalah dengan menghadapinya dan tidak kisah sekiranya perlu berdepan dengan kesakitan," katanya kepada BH Online.

Sebagai cara mengubati hati yang terluka, Cakra atau nama sebenarnya, Cakra Konta Paryaman mengakui dengan mendengar lagunya sendiri mampu membuatkannya menjadi lebih tenang.

Cakra bakal menjayakan Konsert A Decade Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2.0 di Dewan Plenari, KLCC pada 17 Februari tahun depan. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Cakra bakal menjayakan Konsert A Decade Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2.0 di Dewan Plenari, KLCC pada 17 Februari tahun depan. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Malah, katanya, dalam keadaan hati bersedih, lebih mudah untuk mendapatkan idea atau berkarya kerana ada curahan hati yang ingin diceritakan.

"Saya akui akan mendengarkan lagu nyanyian, Kepada Hati sepanjang proses mengubati diri. Saya percaya setiap kejadian dalam hidup ini sudah diatur seindah mungkin.

"Kita tak boleh kawal perasaan kerana setiap manusia mempunyai watak tersendiri. Kita perlu benar-benar menikmati waktu yang ada sahaja. Kerana selalunya akan ada perkara yang tidak dijangka berlaku pada bila-bila masa.

"Pasti ada yang terbaik di sebalik keburukan berlaku ke atas diri. Dalam keadaan apapun, kita perlu jadi seorang yang positif," katanya.

Pada masa sama, Cakra berkata, antara lain yang dilakukan untuk melupakan episod kekecewaan dengan tidak selalu berfikir mengenainya dan melakukan perkara lain daripada kebiasaan.

"Sebagai manusia, sudah tentu ada rasa sakit, tapi saya bukan pendendam. Cuma mungkin cara kita mengharungi sangat memainkan peranan. Sama ada mahu terus sakit atau terus melangkah memilih jalan hidup baharu, itu adalah pilihan di tangan sendiri.

"Lebih baik bercerita mengenai diri sendiri sahaja dan jangan lihat masa silam lagi. Teruskan melangkah ke hadapan.

"Sekarang, saya sudah jadi seorang yang lebih menerima apa sahaja yang sudah ditentukan. Apapun yang terjadi saya hanya berserah kerana mungkin sudah itu ketentuan-Nya.

"Lagipun, kalau kita selalu mempersoalkan apa yang terjadi, ia hanya akan memenatkan. Terlalu banyak perkara bakal bermain di fikiran dan kita hanya perlu cuba untuk ikhlas sahaja," katanya.

Cakra pernah membuat penampilan di pentas uji bakat America's Got Talent (AGT) 2023, bagaimanapun penyanyi dengan vokal unik itu gagal layak ke separuh akhir.

Terbaharu, Cakra bakal menjayakan Konsert A Decade Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2.0 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC) pada 17 Februari tahun depan.

Berita Harian X