Sabtu, 25 November 2023 | 11:08am
Sean ‘Diddy’ Combs bakal berdepan tuntutan serangan seksual yang difailkan oleh Joi Dickerson-Neal, Khamis lalu. - Foto AGENSI
Sean ‘Diddy’ Combs bakal berdepan tuntutan serangan seksual yang difailkan oleh Joi Dickerson-Neal, Khamis lalu. - Foto AGENSI

Sean 'Diddy' Combs berdepan banyak lagi tuntutan serangan seksual, balas dendam

KUALA LUMPUR: Lebih banyak tuntutan serangan seksual difailkan terhadap Sean 'Diddy' Combs di New York, selepas kes saman berkaitan penderaan fizikal dan rogol bersama penyanyi R&B, Cassie, minggu lalu.

Saman itu dikemukakan di bawah akta 'Adult Survivors Act' di New York iaitu undang-undang yang membuka tempoh satu tahun untuk tuntutan serangan seksual difailkan.

Saman difailkan oleh Joi Dickerson-Neal, Khamis lalu mendakwa dirinya diberikan dadah, diserang secara seksual dan didera pada 1992 oleh penyanyi rap yang juga dikenali sebagai Puff Diddy itu.

Penyanyi rap itu didakwa merakam dan mengedarkan perbuatan kelucahan sebagai balas dendam.

Menurut pemfailan mahkamah, Dickerson-Neal sedang menuntut perbicaraan dari juri dan pampasan.

Satu lagi aduan yang difailkan oleh Jane Doe menuduh Combs dan kolaborator muzik, Aaron Hall merogolnya ketika pesta pada 1990 atau 1991, menurut laporan majalah Rolling Stone.

Pemfailan mahkamah tidak boleh diakses di laman web mahkamah New York kerana ia dikembalikan untuk pembetulan.

Minggu lalu, penyanyi R&B Cassie atau nama sebenarnya, Casandra Ventura, mendakwa Combs menggunakannya lebih daripada sedekad menerusi kekerasan fizikal, dadah dan rogol pada 2018.

Sehari selepas pemfailan itu, terdapat pihak mendakwa, mereka bersetuju menyelesaikan kes itu secara baik, tetapi tidak mendedahkan syarat penyelesaian.

Kes berprofil tinggi lain yang berdepan dengan tuntutan undang-undang termasuk pelakon dari Amerika Syarikat (AS), Jamie Foxx; penyanyi Guns N Roses, Axl Rose dan Datuk Bandar New York City, Eric Adams.

Bekas presiden AS, Donald Trump turut disaman di bawah akta 'Adult Survivors Act' oleh bekas kolumnis majalah E Jean Carroll.

Juri pada Mei mendapati Trump bertanggungjawab atas penderaan seksual dan memberikan Carroll sebanyak USD2 juta (RM9.36 juta) serta hampir USD3 juta (RM14.05 juta) untuk fitnah. - AGENSI

Berita Harian X