Sabtu, 25 November 2023 | 8:31am
Nadia sudah lama berhasrat belajar bahasa isyarat dan akhirnya dapat direalisasikan dalam filem magiK.
Nadia sudah lama berhasrat belajar bahasa isyarat dan akhirnya dapat direalisasikan dalam filem magiK.

Nadia Aqilah teroka sisi berbeza dalam magiK

KUALA LUMPUR: Memegang pelbagai watak sejak mula bertapak dalam dunia lakonan, Nadia Aqilah sentiasa menyimpan hasrat mendalami bahasa isyarat dan memanfaatkan ilmu itu dalam karya.

Akhirnya, impian itu tercapai apabila Nadia yang meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Dunia Hong Kong melalui filem Eva, mendapat peluang itu melalui watak ibu kepada gadis pekak dalam filem magiK.

magiK diterbitkan syarikat produksi, 42nd Pictures Sdn Bhd diterajui pasangan suami isteri, Yasu Tanaka dan Bea Tanaka.

Nadia atau nama sebenar, Nadia Aqilah Bajuri sangat menghargai peluang diberi Yasu dan Bea yang disifatkan jarang diperoleh.

"Sudah lama saya berhasrat belajar bahasa isyarat. Alhamdulillah, akhirnya dapat belajar apabila buat filem magiK.

"Sebelum ini, tiada watak yang memerlukan saya belajar bahasa isyarat. Jadi, peluang untuk belajar menjadi antara faktor saya setuju berlakon filem ini.

"Saya suka belajar dan buat perkara baharu. Tetapi, saya tidak mahulah hanya belajar untuk filem ini. Saya harap dapat masuk kelas untuk terus menguasai bahasa isyarat," katanya

Membawa watak Fiza, iaitu ibu kepada gadis peka, Nadia mengakui bukan mudah melakonkan watak yang memerlukan dia bermain dengan ekspresi wajah, berbanding lontaran dialog.

"Yasu pengarah yang teliti dan skripnya bukanlah dialog, sebaliknya 'storyboard'. Arahannya mengikut satu demi satu 'frame'.

"Yasu bertanya selepas menjayakan sesebuah adegan. Misalnya, babak dengan anak kerana dia tidak mempunyai anak. Yasu terima pendapat kita.

"Saya suka dengan watak Fiza yang tidak memerlukan kita melontarkan banyak dialog. Sebaliknya, kita banyak bermain dengan dalaman atau jiwa. Terima kasih kerana memberikan saya watak sebegini," katanya ditemui pada majlis tayangan perdana magiK di pusat beli-belah Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam magiK, Nadia bergandingan bersama bintang cilik, Qisya Hairulzain yang juga anak kepada pelakon, Amanda Misbun.

Antara babak Nadia dan Beto dalam filem magiK.
Antara babak Nadia dan Beto dalam filem magiK.

Nadia yang juga ibu kepada dua cahaya mata, Senja Aqila, 4 dan Bayu Aria, lima bulan, memberitahu mahu mengurangkan masa di lokasi penggambaran demi keluarga. Nadia tidak mahu terlepas detik melihat anak membesar depan mata.

"Projek pertama selepas melahirkan anak kedua adalah siri Seofis. Saya sudah tidak boleh hendak luangkan masa 23 jam di set penggambaran. Kontrak saya hanya 12 jam.

"Saya yang letak syarat itu sebab penat. Lagipun, saya masih menyusu badan. Jadi, saya fikir perlu cari keseimbangan dan selektif dalam menerima tawaran," katanya yang sedang menjayakan drama Khunsa karya Shahrulezad Mohameddin.

Filem magiK mengangkat kisah gadis pekak yang mampu berkomunikasi dengan kelip-kelip, lantas diangkat sebagai medium untuk penonton mendekati golongan kelainan upaya.

Filem magiK memaparkan Kit, seorang gadis pekak berusia 7 tahun yang tinggal di sebuah perkampungan yang terkenal dengan kelip-kelip.

Ibu bapanya bergelut dengan masalah kewangan kerana bapanya yang bekerja sebagai pendayung yang membawa pelancong melihat kelip-kelip.

Ibunya pula mahu Kit belajar bahasa isyarat dan pergi ke sekolah, namun, Kit tidak berani untuk berkomunikasi dengan orang ramai kerana dia lebih cenderung untuk hidup dalam dunianya yang dikelilingi alam semula jadi.

Namun, semuanya mula berubah apabila Kit bertemu dengan kelip-kelip yang seolah-olah berkomunikasi dengannya berkelip dan terbang dengan cara tertentu.

Filem bergenre drama, keluarga dan fantasi itu menampilkan barisan pelakon seperti Beto Kusyairy, Nam Ron, Ruminah Sidek, Roy Azman, Kamarul Eqifshah dan, Qisya Hairulzain. Ia akan menjengah pawagam mulai 30 November ini.

Berita Harian X