Jumaat, 24 November 2023 | 8:32am
Azmir dan Nini meninjau perpustakaan FINAS yang dipanggil Mediatheque di FINAS. - NSTP/Rohanis Shukri
Azmir dan Nini meninjau perpustakaan FINAS yang dipanggil Mediatheque di FINAS. - NSTP/Rohanis Shukri

FINAS tak tutup kes seleweng dana RM20j

KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap isu penyelewengan dana filem sebanyak RM20 juta membabitkan segelintir penerima yang terdiri daripada individu dan syarikat masih diteruskan, meskipun berlaku perubahan dalam kepimpinan tertinggi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Menjelaskan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS baharu, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, pihaknya sudah menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa dan sedang menunggu perkembangan terkini.

"FINAS tidak akan tutup kes penyelewengan dana dan akan cuba untuk selesaikan secepat mungkin. Ketika ini, kes masih dalam siasatan dan bukan lagi di bawah bidang kuasa FINAS.

"Bagaimanapun, kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya jika diperlukan," katanya.

Mengulas perkembangan terkini isu panas itu, Azmir berkata, FINAS masih menunggu laporan hasil siasatan pihak berkuasa.

"Belum ada lagi laporan mengenai hasil siasatan diterima. Cuma, lebih kepada teguran daripada pihak audit.

"Bagaimanapun, selepas isu dibangkitkan dan surat tuntutan dibuat kepada pihak terbabit, memang ada setengah penerbit sudah mula membuat pembayaran.

"Apapun, FINAS tetap akan pantau jadual pembayaran mereka," tegas Azmir ketika ditemui pada sidang media selepas menerima kunjungan rombongan Media Prima Television Networks (MPTN) diketuai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MPTN dan Primeworks Studios, Nini Yusof di Kompleks FINAS, Petaling Jaya, kelmarin.

Kontroversi berkaitan isu ketirisan dana FINAS tercetus selepas bekas CEO FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim memaklumkan pihaknya banyak menerima maklum balas dan aduan mendakwa dana perfileman diberi disalah guna oleh pihak berkenaan.

Azmir terima kunjungan rombongan MPTN diketuai Nini Yusof di Kompleks FINAS, Petaling Jaya, kelmarin. - NSTP/Rohanis Shukri
Azmir terima kunjungan rombongan MPTN diketuai Nini Yusof di Kompleks FINAS, Petaling Jaya, kelmarin. - NSTP/Rohanis Shukri

Md Nasir dilaporkan berkata, ada antara penerima didakwa membelanjakan wang untuk kepentingan peribadi seperti membeli kenderaan dan mengubah suai kediaman, namun sekadar dakwaan dan tidak disertai bukti kukuh.

Mengulas isu bayaran artis veteran yang tidak setimpal seperti yang sering dibangkitkan, Azmir berkata, FINAS perlukan sedikit masa untuk mencari jalan penyelesaian.

"Seperti yang kita tahu isu bayaran tidak setimpal, kontrak tak standard dan insurans antara isu dihadapi penggiat industri. Ini kerana mereka bergerak secara 'freelancer' dan punca rezeki bergantung kepada projek.

"Pada minggu pertama bertugas, saya ada bertemu dengan wakil persatuan penggiat seni dan mendapatkan pandangan berhubung perkara ini.

"Apa yang FINAS boleh katakan, kami akan teliti perkara ini dengan mengkaji persekitaran, selain cuba dapatkan tenaga pakar supaya boleh urus permasalahan ini dengan kaedah terbaik dan profesional.

"Bagaimanapun, proses ini memerlukan masa kerana soal ini hanya boleh diuruskan oleh satu badan yang berfungsi sama seperti kesatuan pekerja. Hanya dengan mempunyai kesatuan segala permasalahan dapat diselesaikan," jelas Azmir.

Terdahulu, ramai artis veteran terutama mereka yang mempunyai nama besar seperti Wan Maimunah dan Jalil Hamid merungut bayaran diberikan tidak setimpal dengan kerja dilakukan.

Lebih menyedihkan, ada mendakwa bayaran diterima untuk menjayakan sesebuah drama bersiri ataupun telefilem antara RM150 dan RM200.

Berita Harian X