Rabu, 22 November 2023 | 3:12pm
Beto tidak serik untuk terus terbabit dalam aktiviti permotoran dan minat itu juga disokong oleh isterinya, Tisha Shahar. - NSTP/Hazreen Mohamad
Beto tidak serik untuk terus terbabit dalam aktiviti permotoran dan minat itu juga disokong oleh isterinya, Tisha Shahar. - NSTP/Hazreen Mohamad

Beto hanya cedera ringan dihempap motosikal seberat 400kg

KUALA LUMPUR: Pelakon Beto Kusyairy tidak mengalami kecederaan teruk mahupun patah pada mana-mana bahagian badan susulan kemalangan dihadapi ketika menunggang motosikal berkuasa tinggi, baru-baru ini.

Beto atau nama sebenarnya, Nur Kusyairy Zakuan Osman, 43, berkata dia bersyukur tidak alami kecederaan teruk biarpun motosikal jatuh menghempap badan, namun kerisauan lebih besar pada sahabat yang koma hampir seminggu.

"Sekarang, saya tengah dalam fasa 'recovery'. Alhamdulillah, saya tidak teruk walaupun pada awalnya dijangka ada bahagian patah sebab motosikal jatuh dan menghempap saya.

"Bila lakukan X-Ray, semua okay kecuali bahagian badan kiri lebam-lebam. Memang rezeki sebab motosikal seberat 400 kilogram menghempap saya.

"Apa yang saya dapat kongsi, ada kemalangan berlaku di depan dan saya tak boleh elak sebab sedang konvoi ke masjid di Ipoh.

"Kami nak buat doa selamat dan solat hajat bersama Imam Besar Ipoh. Kami ikut semua peraturan konvoi.

"Namun, dalam kejadian hujan lebat, licin dan agak sesak sebab perayaan Hari Deepavali. Benda sudah nak jadi, kita tak boleh nak elak.

"Waktu itu, saya terus fikir kawan saya berada di depan. Ini kerana kawan saya lebih teruk, tapi Alhamdulillah, dia sudah buka mata dan boleh duduk, semalam," katanya kepada BH Online.

Beto ditemui pada majlis tayangan perdana filem magiK di pusat beli-belah Pavilion Bukit Jalil, semalam.

Katanya, ia adalah pengalaman pertama berhadapan dengan kemalangan seteruk itu.

Bagaimanapun, Beto mohon maaf tidak dapat mengulas lanjut mengenai kejadian kerana ia masih dalam siasatan polis.

Pada 13 November lalu, Beto terbabit kemalangan di Kilometer 349 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah utara ketika dalam perjalanan ke Ipoh, Perak.

Beto bersama penerbit, pengarah dan barisan pelakon ketika majlis tayangan perdana filem magiK di pusat beli-belah Pavilion Bukit Jalil, semalam. - NSTP/Hazreen Mohamad
Beto bersama penerbit, pengarah dan barisan pelakon ketika majlis tayangan perdana filem magiK di pusat beli-belah Pavilion Bukit Jalil, semalam. - NSTP/Hazreen Mohamad

Kejadian sekitar jam 5 sehingga 5.30 petang itu berlaku ketika Beto menyertai konvoi motosikal Solidariti Wings Motogang Society dan menunggang motosikal jenis Harley Davidson Road Glide ST.

Beto berkata, dia antara individu terawal menyertai Wings Motogang Society dan sudah bersama kumpulan berkenaan antara tujuh hingga lapan tahun.

Berikutan itu, Beto berkata, tiada istilah serik untuk terus terbabit dalam aktiviti permotoran dan minat itu juga disokong oleh isterinya, Tisha Shahar.

"Saya tak serik, insya-Allah. Tapi, sebenarnya isteri berada di Geneva, Switzerland rasa tak sedap hati. Dia rasa lain macam, seolah-olah ada 'instinct', dua jam duduk di perhentian bas, termenung dan tidak buat apa.

"Saya tak nak beritahu Tisha dahulu, bila sudah periksa dan dapati tiada apa-apa barulah beritahu dia.

"Itu pun saya beritahu bila Tisha nak balik, tapi saya cakap saya okay.

"Tapi, saya risau juga sekiranya Tisha dapat tahu berita daripada orang lain. Lebih baik, saya ceritakan sendiri dan yakinkan isteri saya okay.

"Tisha risau saya cedera memandangkan saya pernah alami kecederaan di kepala. Tapi masa nak pergi tergerak hati nak pakai topi keledar penuh muka, itulah yang menyelamatkan saya," katanya.

Tambah Beto, isteri takkan menghalangnya naik motosikal sebab tahu jiwanya sukakan motosikal, tetapi minta sembuh dahulu.

Dalam perkembangan lain, Beto terbabit dalam filem magiK terbitan syarikat produksi, 42nd Pictures Sdn Bhd yang diterajui pasangan suami isteri, Yasu Tanaka dan Bea Tanaka.

Selain Beto, filem bergenre drama, keluarga dan fantasi arahan Tanaka itu menampilkan Nadia Aqilah, Nam Ron, Ruminah Sidek, Roy Azman, Kamarul Eqifshah dan bintang cilik, Qisya Hairulzain.

Filem magiK akan menjengah pawagam mulai 30 November depan.

Berita Harian X