Rabu, 22 November 2023 | 1:02pm
Sharifah Zarina buat persiapan rapi termasuk sanggup membeli mikrofon baharu dan mengikuti kelas vokal demi komitmen terhadap undangan Konsert Ini Baru Bintang 4. - Foto IG Sharifah Zarina
Sharifah Zarina buat persiapan rapi termasuk sanggup membeli mikrofon baharu dan mengikuti kelas vokal demi komitmen terhadap undangan Konsert Ini Baru Bintang 4. - Foto IG Sharifah Zarina

Buruk sangatkah saya menyanyi? - Sharifah Zarina

KUALA LUMPUR: Penyanyi Sharifah Zarina, 42, memohon pertimbangan masyarakat tidak membandingkan persembahannya ketika menjayakan Konsert Ini Baru Bintang 4, baru-baru ini dengan penyanyi undangan lain.

Sharifah Zarina menjelaskan, dia sudah lama tidak muncul membuat persembahan di hadapan khalayak menyebabkan nyanyiannya tidak mencapai kepuasan penonton hingga menjadi perdebatan netizen dalam media sosial.

"Semua orang tahu saya sudah lama tidak menyanyi dan tiada niat untuk buat kemunculan semula.

"Kali terakhir saya buat 'show' pada 2019. Jadi, warganet jangan harapkan saya menyanyi macam nak masuk pertandingan atau bandingkan nyanyian saya dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza yang masih aktif hingga hari ini.

"Saya terima undangan RTM kerana menghargai mereka. Niat saya menghiburkan penonton yang datang, itu sahaja," katanya kepada BH Online.

Pada konsert itu, Sharifah Zarina mendendangkan lagu Dawai dan Langit Ke 7.

Sharifah Zarina sudah lama tidak muncul buat persembahan di hadapan khalayak menyebabkan nyanyian tidak mencapai kepuasan penonton hingga menjadi perdebatan netizen. - Foto IG Sharifah Zarina
Sharifah Zarina sudah lama tidak muncul buat persembahan di hadapan khalayak menyebabkan nyanyian tidak mencapai kepuasan penonton hingga menjadi perdebatan netizen. - Foto IG Sharifah Zarina

Tambah pemilik nama lengkap Sharifah Zarina Wan Hassan itu, dia membuat persiapan rapi termasuk sanggup membeli mikrofon baharu dan mengikuti kelas vokal demi komitmen terhadap undangan penganjur.

"Walaupun saya nak berhibur, tapi saya juga buat persediaan. Saya beli mikrofon baharu dan belajar vokal. Saya ambil empat kelas vokal. Jiran saya terkejut sebab saya sudah lama tidak bernyanyi.

"Usaha memang ada tapi itulah, orang hanya tahu mengecam," luah penyanyi berasal Kuching, Sarawak ini.

Walaupun persembahannya dikecam teruk, Sharifah Zarina tetap berpuas hati dengan persembahannya tempoh hari.

"Saya berpuas hati dengan persembahan saya. Pada umur begini, saya masih boleh tarik nada tinggi lagi.

"Buruk sangatkah saya nyanyi? Setidaknya orang masih tahu, itu adalah lagu Dawai.

"Cuba kalau yang kutuk kita suruh nyanyi. Entah-entah tak berbunyi langsung nada lagu Dawai," ujarnya berseloroh.

Terdahulu, Sharifah Zarina dikritik teruk kerana dikatakan gagal membawakan lagu Dawai yang menjadi lagu runut bunyi filem Air Mata Di Ujung Sajadah pada konsert mingguan terbitan RTM itu.

Berita Harian X