Rabu, 22 November 2023 | 11:00am
Konsert Dato Shake akan menjadi medan penceritaan perjalanan dan kronologi karier muzik yang dibukukan Shake. - NSTP/Aziah Azmee
Konsert Dato Shake akan menjadi medan penceritaan perjalanan dan kronologi karier muzik yang dibukukan Shake. - NSTP/Aziah Azmee

Shake tak lupa asal usul, bahasa ibunda

KUALA LUMPUR: Berpuluh tahun berkelana di bumi perantauan tidak sesekali membuatkan penyanyi legenda, Datuk Shake, 73, melupakan asal usul dan bahasa ibunda.

Berhijrah ke Paris, Perancis pada usianya 22 tahun, kemudian menetap di Los Angeles, Amerika Syarikat selama 24 tahun, Shake atau nama sebenarnya, Sheikh Abdullah Ahmad Bakhbereh tetap anak Johor Bahru yang pernah mendapat pendidikan di sekolah agama.

"Saya anak Johor dan bersekolah Jawi hingga Darjah Tiga, kemudian barulah saya ke sekolah Inggeris.

"Jadi, mana mungkin saya lupakan bahasa ibunda, Melayu. Saya juga masih boleh tulis dan baca bahasa Jawi," katanya ketika ditemui pada sesi fotografi khas di Balai Berita, Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Masih aktif menyanyi di Perancis dan fasih dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Perancis, Shake berkata, isterinya yang juga model dan pelakon teater berketurunan Czechoslovakia, Datin Melina Shake Abdullah juga mengetahui beberapa perkataan bahasa Melayu.

"Justeru tak mungkin bahasa Melayu hilang daripada ingatan.

"Namun sukar buat saya kembali menetap di Malaysia memandangkan anak, cucu dan aset-aset di Perancis," katanya kepada BH Online.

Hasil perkahwinan Shake dan Melina, mereka itu dikurniakan empat cahaya mata, Mina, 52, Natacha, 45, dan sepasang anak kembar, Nicholas serta Amaro, 42. Pasangan bahagia itu juga dikurniakan tujuh cucu.

Namun, penyanyi yang popular menerusi lagu Kau Bungaku, Lina, Umi dan Anugerah Dari Kegagalan berkata, perasaan sayang terhadap tanah air tidak pernah luntur, namun keluarga juga keutamaan terutama anak dan cucu.

"Bukan tak nak duduk atau tak suka Malaysia tapi anak, cucu dan harta benda dimiliki, semua ada di sana.

"Sudah tentu saya tak boleh tinggalkan, terutama anak dan cucu. Takkan saya nak berada jauh dari mereka. Memang tak boleh, ini pun saya sudah rindu, jadi ia mustahil," katanya.

Shake yang sudah dua bulan berada di Malaysia sempena Konsert Dato Shake di Zepp Kuala Lumpur pada 16 Disember depan itu berkata, dia selalu pulang ke tanah air kerana masih ada keluarga dan saudara mara di Johor.

Berkongsi mengenai anaknya, Shake berkata, anaknya mempunyai minat dalam bidang seni tanpa dipaksa.

"Semuanya menceburi bidang seni, anak perempuan saya pelakon dan penyanyi, namun tidak menyambung karier seni apabila berkahwin.

"Namun, kedua-dua anak lelaki saya masih bekerja dalam bidang seni ini.

"Seorang adalah pengarah filem dan seorang lagi pelakon dan melakukan kerja dalam bidang penerbitan. Nicholas dan Amaro memilih menceburi bidang seni ini," katanya.

Berbicara mengenai konsertnya, Shake mengakui, sudah lama menantikan kesempatan menghiburkan peminatnya di Malaysia.

Jadi, katanya, dia berterima kasih kepada penganjur, InTour Live Events dengan kerjasama iMe Entertainment Group.

"Ia sudah lama dirindui dan dijanjikan untuk peminat saya.

"Pada 2019, saya berada di Malaysia pada Ramadan, kemudiannya kembali ke Paris pada Syawal. Ketika itu, saya sudah merancang mengadakan jelajah satu Malaysia pada 2020. Ketika itu, saya baru sahaja menjayakan Akademi Fantasia (AF), jadi mungkin ada peminat baharu yang kenal saya.

"Bagaimanapun, perancangan ini tergendala disebabkan pandemik COVID-19, jadi seolah-olah putus harapan. Saya juga kurang menjaga badan memandangkan banyak duduk di rumah ketika pandemik.

"Macam nak bersara pun ada ketika itu. Di Perancis ramai artis juga terkesan teruk," katanya.

Tambah Shake, anak-anaknya sudah berumah tangga dan banyak menghabiskan masa bersama cucu, jadi lama kelamaan jadi malas menyanyi.

"Bagaimanapun, saya lihat ramai artis kembali mengadakan konsert, jadi saya terpanggil untuk meneruskan impian belum kesampaian.

"Saya ada bertemu kawan yang bertanya sama ada nak buat konsert atau tidak, saya katakan mengapa tidak. Tetapi, saya katakan pilih lokasi kecil kerana saya tak tahu peminat masih ada atau tidak. Jadi, sekarang saya mahu 'test market' sama ada saya masih mempunyai peminat atau sebaliknya," katanya.

Shake sukar kembali menetap di Malaysia memandangkan anak, cucu dan aset-asetnya di Perancis. - NSTP/Aziah Azmee
Shake sukar kembali menetap di Malaysia memandangkan anak, cucu dan aset-asetnya di Perancis. - NSTP/Aziah Azmee

Shake berkata, dia memang menaruh harapan besar konsert solonya di Zepp Kuala Lumpur dapat mengumpulkan peminatnya.

"Apa yang saya fikirkan adalah peminat, sama ada mereka datang atau tidak. Saya akan menyanyikan lagu dalam tiga bahasa, Inggeris, Melayu dan Perancis.

"Saya akan menyanyikan lagu yang diterbitkan di Amerika Syarikat kerana pernah menetap di sana selama 24 tahun.

"Saya sudah menyediakan 30 lagu, tapi tengok kepada durasi konsert. Dan tentunya saya akan menyanyikan lagu bahasa Melayu seperti Pulanglah.

"Apapun, saya akan tampilkan persembahan terbaik untuk peminat yang terus memberi sokongan kepada saya sejak dahulu," katanya yang merancang mengadakan siri jelajah pada tahun hadapan.

Bakal berlangsung selama 90 minit, Shake berkongsi, dia sudah menyenaraikan kira-kira 30 lagu. Antaranya, Umi, Anugerah Dari Kegagalan, Lina, Kau Bunga Ku dan You Know I Love You (Tu Sais Je T'aime).

Kali terakhir Shake mengadakan konsert solo di tanah air pada 1984. Justeru, Shake menjanjikan persembahan yang memuaskan pada konsertnya yang juga akan diiringi tujuh pemuzik yang dibawakan dari Paris dan Malaysia.

Konsert Dato Shake ini juga akan menjadi medan penceritaan perjalanan dan kronologi karier muzik yang sudah dibukukan Shake.

Pada 2026, Shake akan meraikan ulang tahun ke-50 pembabitannya dalam dunia seni di Perancis.

Shake berkata, kembara dan pengalaman sejak 1970-an itu cuba dikumpulkan dalam satu naskhah untuk peninggalan anak cucu.

"Saya kembali ke Malaysia pada 1983, lantas menjadi popular dan tahun ini juga genap 40 tahun kerjaya seni saya di Malaysia.

"Pada 2026 genap 50 tahun saya berkecimpung dalam kerjaya di Perancis kerana saya ke sana pada 1976. Jadi, saya mahu melakukan banyak perkara seperti siri jelajah dan melancarkan buku, tahun depan," katanya.

Selain itu, Shake pernah mencipta sejarah artis Asia pertama yang meraih populariti dengan menyanyikan lagu dalam bahasa Perancis, termasuk rakaman bersama pelakon aksi terkenal, mendiang Bruce Lee pada 1976.

Pada 1983, penghibur terkenal ini membuat rakaman pertama dalam bahasa Melayu dan pantas mencipta populariti dengan nama Shake.

Antara pencapaian Shake yang sukar ditandingi adalah menerima Chevalier des art et Lettre (Knight of the Order of Arts Letters and Merits), iaitu penghargaan berprestij daripada Kerajaan Perancis atas sumbangan mempromosikan bahasa dan budaya negara itu di seluruh Asia.

Shake mula menyanyi ketika usia remaja di kelab malam dengan lagu-lagu Tom Jones, Stevie Wonder, Elvis Presley dan The Beatles.

Mencuba nasib ke Eropah apabila mendapat galakan rakan artis Eropah pertengahan 1970-an dan London menjadi perhentian pertama.

Pada 1976 berhijrah ke Perancis dan single pertamanya, Tu Sais Je T'aime (You Know I love You) dipasarkan.

Berita Harian X