Selasa, 21 November 2023 | 5:18pm

Perasaan bersalah tetap ada, 'rambut hijau' hanya lima hari

KUALA LUMPUR: Penyanyi Hafiz Suip terpaksa akur dengan peranan 'gimik' dalam membantu mempromosikan meskipun perkara bertentangan dengan prinsip peribadi.

Hafiz atau nama sebenarnya, Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 33, berkata, artis perlu merebut peluang cipta kandungan sensasi demi menarik perhatian ramai pada era media sosial yang semakin meluas ini.

"Tak dinafikan, isu rambut hijau memang saya lakukan demi menarik perhatian umum. Perkara ini sudah menjadi lumrah selepas kewujudan media sosial.

"Pada hari ini, ramai selebriti gunakan platform ini untuk pasarkan diri, boleh sahaja kalau nak ikut cara lama seperti perkenalkan diri dan beritahu saya ada lagu baharu yang akan dilancarkan, tetapi impaknya tidaklah seperti jika lakukan gimik sensasi.

"Bila saya warnakan rambut hijau, tindakan saya secara tidak langsung mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen dan menjadi perbualan. Tak kisahlah pernah menang anugerah atau punya nama besar, tetapi kita tetap kena guna cara sebegini (gimik) untuk promosi diri," katanya kepada BH Online.

Mengulas lanjut, penyanyi lagu Masih Jelas ini juga tidak menolak gara-gara keberaniannya mewarnakan rambut, dia menerima kecaman apabila ada pihak mengaitkan tindakannya dengan soal agama.

"Memang ada yang mempersoalkan tindakan saya dan mengaitkannya dengan imej Islamik saya. Saya sedar perkara itu dan saya tahu hukumnya.

"Cuma, saya berada dalam dunia hiburan. Sebagai penghibur, ini adalah cara saya untuk meraih publisiti.

"Bila bergerak sendiri, saya kena fikir cara untuk pasarkan diri. Lainlah dahulu, semuanya diatur oleh syarikat rakaman termasuk dari segi publisiti.

"Jujurnya, perasaan bersalah tetap ada, tetapi bila fikir apa yang saya buat membabitkan soal kerja, jadi saya teruskan," katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran single Terus Bersinar di SetiaWalk, Pusat Bandar Puchong di sini, semalam.

Hafiz terima kecaman apabila ada pihak mengaitkan tindakannya dengan soal agama apabila mewarnakan rambut hijau. - NSTP/Rohanis Shukri
Hafiz terima kecaman apabila ada pihak mengaitkan tindakannya dengan soal agama apabila mewarnakan rambut hijau. - NSTP/Rohanis Shukri

Terdahulu, penampilan Hafiz berambut hijau selepas hilang seketika dari radar industri hiburan mencetuskan polemik.

Bagaimanapun, katanya, imej itu hanya bertahan lima hari sahaja sebelum bekas juara Akademi Fantasia 7 ini mengambil keputusan membotakkan kepalanya.

Sementara itu, mengulas lagu genre balada yang masih dikekalkan meskipun sudah 15 tahun berada dalam dunia hiburan, pemenang trofi Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) tiga kali berturut-turut itu menjelaskan, semua itu atas kehendak peminat.

"Saya bukan buat lagu untuk halwa telinga sendiri, tetapi untuk kepuasan peminat. Sebelum ini, saya pernah menyanyikan lagu yang genre agak berbeza berjudul Kejar, tapi tidak mendapat sambutan.

"Justeru, lebih baik saya kekalkan sahaja genre balada jika itu yang peminat nak dengar. Kita nak jual produk bukan nak syok sendiri," ujarnya.

Imej berambut hijau hanya bertahan lima hari sahaja sebelum Hafiz mengambil keputusan membotakkan kepalanya. - NSTP/Rohanis Shukri
Imej berambut hijau hanya bertahan lima hari sahaja sebelum Hafiz mengambil keputusan membotakkan kepalanya. - NSTP/Rohanis Shukri
Berita Harian X