Selasa, 21 November 2023 | 3:21pm
Bunga sebagai artis pembuka tirai konsert Coldplay yang dinanti-nantikan ramai peminat Malaysia. - Foto IG Bunga
Bunga sebagai artis pembuka tirai konsert Coldplay yang dinanti-nantikan ramai peminat Malaysia. - Foto IG Bunga

Bunga buat persiapan rapi jadi artis pembukaan konsert Coldplay

KUALA LUMPUR: Penyanyi Bunga, 23, tidak sabar menyertai kumpulan rock popular dari Britain, Coldplay, memeriahkan siri konsert jelajah, Coldplay: Music Of The Spheres World Tour di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Bunga berkata, dia akan menyampaikan lima lagu iaitu Intan Payung, Apadehal, Jiwaraga, Belai dan Buai sepanjang tempoh 20 minit yang diberikan.

"Saya sebenarnya agak berdebar nak berkongsi pentas dengan Coldplay, tapi Alhamdulillah, semua persediaan berjalan dengan lancar.

"Saya akan sudah cuba yang sehabis baik dan sudah berlatih banyak kali antara tiga hingga empat bulan lalu.

"Saya percaya debaran ini perlu untuk saya tahu apa yang bakal dibuat, jadi saya berharap semuanya akan berjalan dengan lancar esok," katanya kepada BH Online.

Bunga bersama pasukannya sudah bersedia memeriahkan konsert jelajah, Coldplay: Music Of The Spheres World Tour, malam esok. - Foto IG Bunga
Bunga bersama pasukannya sudah bersedia memeriahkan konsert jelajah, Coldplay: Music Of The Spheres World Tour, malam esok. - Foto IG Bunga

Terdahulu, pengumuman Bunga sebagai artis pembuka tirai konsert yang dinanti-nantikan ramai peminat Malaysia itu dibuat menerusi laman sosial, Live Nation Malaysia.

Kongsi Bunga atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini, ia adalah salah satu persembahan paling besar buatnya apabila ia akan membabitkan penonton seramai 85,000 orang.

Justeru itu, penyanyi yang popular dengan lagu Intan Payung itu memilih menyampaikan persembahan yang mempromosikan budaya Melayu kepada peminat Coldplay yang datang.

Sementara itu, mengulas mengenai pendapat mengenai permintaan beberapa pihak yang mahukan konsert dibatalkan sebagai tanda sensitiviti terhadap konflik berdarah di Palestin, Bunga berkata, untuk berbuat demikian, banyak aspek yang perlu diambil kira.

"Kita perlu sedar dan faham bahawa ada banyak aspek dan perkara yang perlu dilihat untuk membatalkan konsert. Ada banyak prosedur perlu dilalui untuk artis luar datang ke Malaysia, sama juga nak membatalkan, ada prosedurnya.

"Artis luar negara juga sudah melabur banyak untuk mengadakan konsert di Malaysia dan ramai yang sudah membeli tiket.

"Jadi, untuk membatalkan konsert ini tanpa mengambil berat semua itu, tidak boleh juga.

"Sama juga dengan isu anggota kumpulan 1975 di Festival The Good Vibes, kerajaan membatalkan festival itu sebab sudah melanggar kontrak, tapi Coldplay tidak melanggar kontrak, malah pernah menyumbang kepada Malaysia dan sudah jadi salah satu band yang menyokong Palestin sejak 2011.

"Ada juga konsert di Malaysia yang sedang berjalan, adakah kita perlu membatalkan semuanya? Dalam isu hormat Palestin, banyak yang boleh dibuat untuk menyatakan penghormatan seperti sumbangan dan sebagainya," katanya.

Konsert bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, esok dan sebanyak 85,000 tiket habis terjual.

Bunga selaku persembahan pembukaan akan tampil jam 8 malam dan Coldplay menyusul jam 9 malam.

Seramai 85,000 penonton dijangka bakal memenuhi stadium bagi menyaksikan persembahan band yang dibarisi oleh Chris Martin, Johny Buckland, Guy Berryman dan Will Champion.

Siri jelajah dunia Coldplay bermula sejak Mac tahun lalu dan kumpulan itu mencatat rekod antara artis yang menjual tiket terbanyak dan terlaris di dunia.

Di Malaysia, tiket konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour berharga antara RM228 ke RM3,088 yang dijual pada 17 Mei lalu 'licin' disambar peminat tegar mereka hanya dalam tempoh tiga jam.

Terdahulu, pada Mei lalu, Coldplay mengumumkan bakal mengadakan konsert jelajahnya di beberapa negara Asia termasuk Jepun, Taiwan, Indonesia, Australia dan Malaysia bermula 6 November lalu.

Singapura menjadi satu-satunya negara Asia yang terpilih menjadi lokasi konsert Coldplay selama empat hari berturut-turut bermula 23 hingga 27 Januari 2024.

Berita Harian X