KUALA LUMPUR: Produk terbitan Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) terus unggul apabila mendominasi senarai pemenang peringkat kebangsaan pada Asian Academy Creative Awards (AAA) 2023 melalui kategori Berita dan Ehwal Semasa.
Antara program terbitan MPTN yang mengungguli kategori itu adalah Fail Mahkamah disiarkan TV3; 999 Khas: Marak Api Ittifaqiyah (TV3); Behind The Scam Musim Ketiga (8TV) serta kategori Filem iaitu Seindah Kasih (TV3 dan Tonton).
Pencapaian itu melayakkan MPTN bersaing dengan produk terbitan negara Asia Pasifik lain pada malam kemuncak berprestij Grand Awards and Gala Finals di Chijmes Hall, Singapura, pada 7 Disember depan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MPTN dan Primeworks Studios (PWS), Nini Yusof menyifatkan kejayaan diraih sebagai bukti kepercayaan penonton terhadap produk terbitan stesen penyiaran itu.
"Kejayaan ini semestinya menyuntik semangat kru produksi untuk terus memberi kreativiti mereka tanpa batasan.
"Kemenangan ini menunjukkan penonton masih kekal bersama kami untuk mendapatkan informasi berita dan ehwal semasa terkini apabila berjaya mendominasi kategori terbabit.
"Tahniah kepada semua pihak produksi dan mereka yang terlibat atas pencapaian luar biasa ini pada Asian Academy Creative Awards 2023.
"MPTN akan terus menyajikan kandungan program berkualiti dan setaraf dengan terbitan antarabangsa," katanya dalam kenyataan.
Pada acara itu, program dokumentari Fail Mahkamah diumum Siri Dokumentari Terbaik.
Program itu membawa penonton mengimbas kronologi kes tragik, sensasi dan berprofil tinggi yang pernah mendapat perhatian dan liputan meluas media, suatu ketika dahulu.
Menerusi Fail Mahkamah, penonton akan mengetahui dengan lebih lanjut mengenai beberapa prosiding dari perspektif undang-undang berhubung kes bersejarah di Malaysia serta status terkini daripada Mahkamah Keadilan.
Program 999 Khas: Marak Api Ittifaqiyah pula diumum pemenang kategori Program Dokumentari Terbaik (One-Off).
Edisi khas ini menghuraikan bagaimana tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah boleh berlaku hingga mengorbankan 23 mangsa pada 2017.
Anugerah Program atau Siri Berita dan Ehwal Semasa Terbaik diungguli 8TV melalui program Behind The Scam musim ketiga.
Dihoskan Chan Wei Wei, program itu memberi pencerahan mengenai kes penipuan membabitkan rakyat.
Kes penipuan yang semakin banyak muslihat turut dihurai pakar bidang teknologi atau pihak berkuasa untuk mengelak individu menjadi mangsa penipuan.
Sementara itu, Tonton menerusi Filem Tonton Original: Seindah Kasih yang ditayang secara eksklusif sempena kempen Seindah Kasih pada musim lebaran tahun ini, memenangi kategori Drama/Telemovie/Antologi Episod Terbaik.
Filem terbitan Lumatic Films Sdn Bhd itu berkisar enam pengamal dan peminat media tempatan berhadapan krisis hubungan peribadi yang menjadikan tugas harian mereka lebih mencabar.
Karya itu menampilkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Syafiq Kyle, Mimi Lana, Siti Saleha, Shasha Abedul, Luqman Hafidz, dan Anas Ridzuan.