Isnin, 18 September 2023 | 11:01am
Barisan pelakon dan tenaga kreatif filem Walid pada sidang media tayangan naskhah berkenaan di Petaling Jaya, baru-baru ini. Foto NSTP Eizairi Shamsudin
Barisan pelakon dan tenaga kreatif filem Walid pada sidang media tayangan naskhah berkenaan di Petaling Jaya, baru-baru ini. Foto NSTP Eizairi Shamsudin

'Cukup-cukuplah aktor sado bertarung'

KUALA LUMPUR : Pengarah filem aksi disaran memberi peluang kepada pelakon bertubuh gempal dan berusia untuk melakonkan babak pertarungan atas faktor bakat serta keupayaan mereka, selain asas dalam seni mempertahankan diri.

Pelakon, Megat Sharizal, 44, berpendapat sudah tiba masanya pengarah membuka mata dan tidak memilih pelakon 'stereotaip' untuk membawa watak aksi.

"Saya cuma hendak cakap, cukup-cukuplah ambil pelakon bertubuh 'sado' untuk memegang watak aksi. Sudah tiba masanya untuk pengarah pelbagaikan pelakon dalam naskhah mereka.

"Contohilah filem Walid yang lebih realisitik apabila menampilkan hero yang sama seperti kita lihat di luar filem. Tidak semestinya pelakon gemuk dan tua tidak boleh melakonkan babak aksi.

Megat terkejut selepas dua dekad berkecimpung dalam dunia seni, dia ditawarkan watak hero buat kali pertama. Foto NSTP Eizairi Shamsudin
Megat terkejut selepas dua dekad berkecimpung dalam dunia seni, dia ditawarkan watak hero buat kali pertama. Foto NSTP Eizairi Shamsudin

"Saya yakin mereka mampu melakonkan watak itu jika diberi peluang," katanya pada sidang media tayangan filem Walid di Damansara Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Melalui filem genre aksi drama itu, Megat atau nama sebenar, Megat Sharizal Mohamed Yusoff memegang watak utama sebagai Walid.

Karakter itu memerlukan Megat yang pernah tiga kali mewakili Kuala Lumpur dalam pertandingan Silat Gayong peringkat kebangsaan, mempamerkan kehandalannya dalam bersilat dan bermain dengan senjata.

Filem Walid yang mula ditayangkan di pawagam tempatan, Khamis lalu, berkisar kes penculikan kanak-kanak membabitkan sindiket pemerdagangan manusia.

Mengulas pemilihannya sebagai teraju utama naskhah sentuhan Areel Abu Bakar itu, Megat mengakui terkejut kerana sepanjang 20 tahun dalam industri perfileman, ini kali pertama dia diberi kepercayaan memegang watak hero.

"Ketika Areel beritahu saya terpilih untuk memegang watak Walid, bukan saya sahaja yang terkejut, malah, pelakon lain juga.

"Pada sesi baca skrip, masih ada pelakon yang bertanya siapa yang memegang watak Walid.

"Sudah tentu saya bangga dengan tawaran yang diberi walaupun pada awalnya, saya sangka pegang watak penjahat berdasarkan keadaan fizikal saya yang berjambang dan berambut panjang ketika itu.

"Tak mahu mensia-siakan peluang diberi, saya tanamkan semangat dalam diri untuk melakukan yang terbaik dalam naskhah ini," katanya yang pernah mengarahkan drama bersiri Metro Crime Series episod Siapa Lelaki Itu?

Megat yang pernah membintangi filem Hati Malaya dan Anak Rimau The Movie ini tidak dapat melupakan pengalaman dijangkiti COVID-19 ketika dalam penggambaran filem Walid.

"Ketika melakonkan babak pergelutan, tiba-tiba saya sukar bernafas. Selepas membuat pemeriksaan, saya disahkan dijangkiti COVID-19 dan perlu dikuarantinkan selama lima hari.

"Mujur keadaan saya tidak begitu teruk kerana sudah mendapatkan vaksin. Bagaimanapun, selepas pulih, saya sambung penggambaran.

"Ketika itu, saya rasa lain berikutan kesan jangkitan. Bukan hendak kata 'pancit', tetapi agak sukar untuk bernafas," katanya.

Selain Megat, filem terbitan Layar Picture ini turut menampilkan pelakon seperti Nam Ron, Qaseh Izwandy, Fad Anuar, Yusran Hashim dan ramai lagi.

Berita Harian X