KUALA LUMPUR: Merancang menjadikannya konsert tahunan, sambutan luar biasa Konsert Patah Hati pada Mac lalu mendorong penganjur, ANS Diversified Sdn Bhd meneruskan siri seterusnya pada 23 November depan.
Masih memilih lokasi di Zepp Kuala Lumpur, Konsert Patah Hati 2.0 mengekalkan konsep sama dengan menggabungkan artis solo dan berkumpulan.
Selain Naim Daniel dan Aisha Retno dikekalkan, Konsert Patah Hati 2.0 akan digegarkan oleh Bunkface, Ismail Izzani, Nadeera dan Neeta Manis.
Pengarah Projek, Ahmad Faizal Zulkipli berkata, penganjuran siri kedua konsert itu diadakan sebagai memenuhi permintaan peminat.
"Kami merancang menjadikannya sebagai acara tahunan ketika mengadakan konsert pertama.
"Namun, disebabkan sambutan di luar jangkaan dan ada yang tidak puas menyaksikan konsert lalu, jadi kami penuhi permintaan dengan mengadakan sekali lagi dalam tempoh enam bulan.
"Bagaimanapun, Konsert Patah Hati 2 agak berbeza kerana menampilkan penyanyi lain, selain mengekalkan Naim dan Aisha kerana semangat serta komitmen luar biasa yang ditonjolkan.
"Secara kebetulan, Naim dan Aisha ada kelapangan, tidak berkira dan 'gila-gila' ketika di pentas, jadi kami tertarik memanggil sekali lagi," katanya kepada BH Online.
Sebelum ini, Naim membuat kejutan apabila menampilkan kumpulannya dikenali sebagai Muah (Muzik Untuk Anak Healing), manakala Aisha pula membawa Daniel Chuer mengiringi persembahannya.
Memilih tema Neon, Faizal berkata, tema itu dipilih sebagai menggambarkan cahaya indah, kepelbagaian rona dan keunikan genre muzik yang ditonjolkan enam artis.
Sementara itu, Pengarah Konsert, Adri Fitri berkata, pihaknya memilih latar warna ungu, biru dan firus sebagai metafora 'lebam' selepas luka.
"Pada konsert pertama, warna putih, merah dan hitam melambangkan duka serta berdarah rentetan pandemik COVID-19 apabila ada yang kehilangan orang tersayang dan pekerjaan.
"Konsert Patah Hati bukan semata-mata mengenai cinta, tetapi maksud patah hati sangat luas.
"Apa yang ingin digambarkan dalam konsert kedua adalah penyembuhan daripada luka berdarah dan tunjukkan kebangkitan," katanya.
Projek konsert itu disokong Dana Kandungan Digital (DKD) Persembahan Muzik, Kementerian Komunikasi Dan Digital yang disalurkan melalui MyCreative Ventures.