Selasa, 29 Ogos 2023 | 11:00am
Daiyan mencurahkan emosi dalam 222 puisi yang ditulis dan dibukukan sebagai catatan kehidupan. Foto Foto IG Daiyan Trisha
Daiyan mencurahkan emosi dalam 222 puisi yang ditulis dan dibukukan sebagai catatan kehidupan. Foto Foto IG Daiyan Trisha

Daiyan bukukan 222 puisi indah buat peminat

KUALA LUMPUR : Selepas mencipta nama sebagai pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha membuka lembaran baharu dalam karier seni apabila menceburi bidang sastera dengan menghasilkan buku puisi pertama berjudul Tulisan.

Daiyan atau nama sebenar, Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, 29, berkata naskhah yang ditulis sejak 2018 itu dianggap pencapaian penting dalam perjalanan bergelar anak seni, selain berharap karya itu mampu memikat hati penggemar puisi.

"Saya boleh katakan, Tulisan ini menggambarkan perjalanan hidup saya. Selama ini, saya memang sukakan puisi.

Daiyan berkongsi kisah kehidupannya dalam buku puisi berjudul Tulisan. Foto IG Daiyan Trisha
Daiyan berkongsi kisah kehidupannya dalam buku puisi berjudul Tulisan. Foto IG Daiyan Trisha

"Sebagai penyanyi, saya kerap menulis lagu sendiri. Cuma apa yang berbeza, kali ini, saya lebih mendalaminya sebagai antara cara untuk meluahkan emosi dan diri," katanya kepada BH Online.

Daiyan yang menceburi bidang penulisan lagu sejak berusia 14 tahun mengaku berdepan cabaran untuk menyiapkan karya sulungnya itu. Namun, Daiyan mengakui insan sekeliling dan emosi menjadi ilham.

"Antara cabaran untuk menyiapkan karya ini adalah saya perlu berdepan dengan kejujuran sendiri. Ini adalah kompilasi puisi dari 2018, tetapi, saya mula kumpul dan susun sejak tahun lalu.

"Insya-Allah saya akan terus menulis dan mengeluarkan lebih banyak karya selepas ini," katanya yang menjadikan penulis terkenal seperti Rumi dan Rupi Kaur sebagai inspirasi.

Ditanya mengenai pemilihan judul buku, penyanyi lagu Penat itu menjelaskan, ia adalah idea yang muncul secara spontan di benak fikirannya.

"Saya tak pasti, ia datang secara tiba-tiba," katanya ringkas.

Tulisan yang diterbitkan oleh Nukilan Biruni Publication itu akan membuka pra-tempahan secara eksklusif dalam talian melalui pautan, www.tulisanbydaiyan.com.

Untuk meraikan momen bersejarah itu, Tulisan akan diterbitkan dalam edisi terhad sebanyak 2,000 naskhah yang ditandatangani oleh Daiyan. Setiap salinan edisi berkenaan dihasilkan secara elegan dengan pakej eksklusif.

Tulisan karya Daiyan menawarkan gabungan indah daripada 222 puisi yang memukau dengan sentuhan bahasa Melayu dan Inggeris bagi mengangkat tema cinta dan kehidupan.

Berita Harian X