Jumaat, 25 Ogos 2023 | 11:01am
Sebelum mengakhiri konsert, Major menghadiahkan peminat dengan lagu Easily yang pasti meninggalkan memori cukup bermakna. Foto NSTP Hairul Anuar Rahim
Sebelum mengakhiri konsert, Major menghadiahkan peminat dengan lagu Easily yang pasti meninggalkan memori cukup bermakna. Foto NSTP Hairul Anuar Rahim

Konsert Bruno Major di KL 'menenangkan'

KUALA LUMPUR : Seolah-olah berada di lembah menenangkan dipenuhi warna-warni muzik.

Begitulah gambaran perasaan tatkala menyaksikan persembahan penyanyi dari England, Bruno Major pada Konsert Bruno Major: Tour of Planet Earth 2023 di Zepp Kuala Lumpur di ibu negara, Ahad lalu.

Major bagai tidak mengenal erti lelah apabila persembahannya pada malam itu cukup bertenaga, biarpun baru selesai mementaskan konsert di Jakarta, Indonesia, sehari sebelum itu.

Meletakkan kepuasan peminat sebagai misi utama, penyanyi yang juga komposer kelahiran Northampton, England ini tidak berdepan masalah menyampaikan 17 lagu.

Major membuka tirai konsert dengan lagu The Show Must Go On, lantas, menjentik peminat untuk terus memberikan perhatian penuh terhadap persembahannya.

Aksi Major yang lincah memetik gitar dan piano sambil menyanyi membuatkan konsert yang berlangsung hampir dua jam itu, cukup indah. Foto NSTP Hairul Anuar Rahim
Aksi Major yang lincah memetik gitar dan piano sambil menyanyi membuatkan konsert yang berlangsung hampir dua jam itu, cukup indah. Foto NSTP Hairul Anuar Rahim

Rata-rata peminat mula bergoyang perlahan-lahan sebagai tanda menikmati kelunakan suara penyanyi berusia 35 tahun itu.

Major yang mengenakan jaket kotak-kotak berwarna hitam putih tidak menunggu lama untuk meneruskan persembahan dengan lagu berikutnya seperti Like Someone In Love, Fair-Weather Friend, Wouldn't Mean A Thing, Regents Park dan The Most Beautiful Thing.

Bukan itu sahaja, aksi Major yang lincah memetik gitar dan piano sambil menyanyi membuatkan konsert yang berlangsung hampir dua jam itu, cukup indah.

Major yang bertandang ke Malaysia untuk menjayakan konsert solo buat kali kedua, turut mengambil peluang memperkenalkan album ketiganya berjudul Columbo.

Major turut merakamkan penghargaan kepada peminatnya di Malaysia, selain mengaku terharu atas sambutan diterima.

Selepas kali pertama berkunjung ke Malaysia pada 2018, Major teruja sekali lagi berpeluang menghiburkan peminat di negara ini pada konsert jelajah itu.

"Saya sayangkan kamu juga," balas Major terhadap sorakan peminat yang mengungkapkan rasa cinta terhadapnya usai mendendangkan beberapa lagu.

Sebelum mengakhiri konsert, Major menghadiahkan peminat dengan lagu Easily yang pasti meninggalkan memori cukup bermakna.

Major membuktikan dirinya penyanyi dan penulis yang memiliki jiwa 'realistik' untuk menghasilkan lagu bertemakan cinta. Namun, semua itu disampaikan dalam bentuk moden supaya lebih dekat di hati pendengar.

Konsert Bruno Major: Tour of Planet Earth 2023 di Kuala Lumpur dibawakan penganjur, Shiraz Projects.

Berita Harian X