KUALA LUMPUR : Enggan menjadi munafik dan hipokrit, Fasha Sandha, 39, mahu terus memuat naik klip video aksinya dalam media sosial biarpun tindakannya itu mungkin mengundang kritikan netizen.
Pelakon drama Rampas Cintaku itu bersuara bagi menjawab kritikan netizen yang mempersoal tindakan sering memuat naik video menari dalam media sosial sejak tubuhnya dilihat kembali langsing.
Dalam satu komen ditinggalkan, seorang pengikut mempersoal apakah Fasha tidak segan dengan ibu mentua dan iparnya apabila berkongsi video menari, sedangkan dia dikatakan tidak melakukan perkara sama ketika tubuhnya berisi.
Fasha dilihat berkongsi tangkap layar komen itu dan menyertakan beberapa video 'throwback' menari bersama suami dan anak-anaknya ketika tubuhnya berisi.
"Video membuktikan daripada zaman berisi atau bulat, saya tetap berjoget. Semalam, ada beberapa komen mengatakan apabila sudah kurus, terus berjoget.
"Terima kasih 'sister' di atas teguran, cuma agak tersilap fakta. Fasha Sandha adalah manusia yang sentiasa 'happy' dan 'enjoy'. Gemuk atau berisi, saya tetap joget dan 'happy'.
"Tidak ada masa hendak sunting foto atau video jadikan saya kurus," katanya.
Menjawab pertanyaan apakan dia tidak segan perlakuannya itu dilihat keluarga mentua, Fasha berkata:
"Bagi saya, tidak perlu malu untuk menjadi diri sendiri. Lagi malu kalau kelihatan warak dan baik, tetapi bersifat munafik dan hipokrit... Juga selalu iri hati pada orang dan berhati tak bersih.
"Tiada siapa pun sempurna di dunia, tiada siapa layak untuk 'judge' sesiapa. Saya tetap bahagia dan 'enjoy', dahulu dan sekarang," katanya.