KUALA LUMPUR: Vokal komposer dan penyanyi dari England, Bruno Major memukau lebih 1,500 peminat pada Konsert Bruno Major: Tour of Planet Earth 2023 di Zepp Kuala Lumpur di sini, malam tadi.
Aura dan keunikan vokal penyanyi berusia 35 tahun itu menjadikan penampilan keduanya di Malaysia terus diingati peminat.
Tampil dengan seleksi lagu hit seperti The Show Must Go On, Like Someone In Love, Fair-Weather Friend, Wouldn't Mean A Thing, Regents Park, The Most Beautiful Thing dan banyak lagi, membuatkan peminat terhibur.
Bukan itu sahaja, aksi Major yang lincah memetik gitar dan piano sambil menyanyi membuatkan konsert yang berlangsung hampir dua jam itu, cukup indah.
Major yang bertandang ke Malaysia untuk menjayakan konsert solo buat kali kedua, turut mengambil peluang memperkenalkan album ketiganya berjudul Columbo.
Biarpun baru selesai mementaskan konsert di Jakarta, Indonesia, semalam, penyanyi kelahiran Northampton, England itu tetap bersemangat dan memberi persembahan terbaik buat peminat dengan 17 lagu.
Konsert Bruno Major: Tour of Planet Earth 2023 memulakan siri jelajahnya di Tokyo, Jepun pada 8 Ogos lalu. Siri jelajah ini sepatutnya dilancarkan pada 2020, namun, terpaksa dibatalkan berikutan penularan pandemik COVID-19.
Major yang lebih mahu dikenali sebagai pencipta lagu turut menjayakan jelajah konsertnya di Korea Selatan, Thailand, Filipina, Singapura dan Indonesia sepanjang bulan ini.
Kemudian, penyanyi itu bakal meneruskan lagi siri jelajahnya di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada, bulan depan sebelum bergerak ke beberapa negara di Eropah pada November.
Konsert Bruno Major: Tour of Planet Earth 2023 di Kuala Lumpur dibawakan penganjur, Shiraz Projects.