Selasa, 15 Ogos 2023 | 5:01pm
Saya kini ambil sikap tak ambil peduli dengan persepsi orang terhadapnya. - NSTP/Rohanis Shukri
Saya kini ambil sikap tak ambil peduli dengan persepsi orang terhadapnya. - NSTP/Rohanis Shukri

Dikaitkan bapa, Dafi sukar ubah persepsi masyarakat

KUALA LUMPUR: Tidak kisah dituduh guna kabel untuk dapat peluang membintangi filem Malbatt: Misi Bakara, penyanyi dan pelakon, Dafi Ismail sudah lali.

Sejak melangkahkan kaki dalam industri seni pada 2007 menerusi program Akademi Fantasia musim kelima, Dafi sering dituduh menggunakan nama bapanya yang ketika itu bergelar Menteri Belia dan Sukan untuk kepentingan peribadi sebagai penyanyi.

Tahun lalu, apabila namanya berada dalam senarai barisan pelakon filem arahan Adrian Teh itu, ramai bersuara dan mengaitkan nama bapanya sekali lagi yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri.

"Benda itu ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Dari mula masuk industri orang luar sudah mula kaitkan saya dengan ayah kerana sudah bergelar menteri ketika itu.

"Mula-mula saya rasa 'rengsa', tetapi saya tak boleh nak buat, sebaliknya ia sesuatu yang saya kena hadap.

"Saya kini ambil sikap tak ambil peduli apa orang nak cakap. Jika ada yang cakap saya dapat sebab ayah menteri, itu terpulanglah. Apa yang penting, saya dapat watak dalam filem ini," katanya kepada BH Online.

Barisan pelakon filem Malbatt: Misi Bakara ketika majlis pratonton filem, baru-baru ini. - NSTP/Rohanis Shukri
Barisan pelakon filem Malbatt: Misi Bakara ketika majlis pratonton filem, baru-baru ini. - NSTP/Rohanis Shukri

Dafi atau nama sebenarnya, Gadaffi Ismail Sabri, 34, berharap tidak dikaitkan dengan bapanya.

Katanya, walau penat mencuba, dia tetap juga dikaitkan dengan bapanya.

"Saya berharap masuk industri seni untuk berdikari, tetapi masih lagi dikaitkan dengan ayah.

"Rasanya tiada harapan nak ubah persepsi masyarakat sebab yang bercakap akan terus bercakap.

"Orang luar mungkin tak tahu saya pernah bekerja dengan Adrian. Mungkin kami serasi bekerja sebab itulah ditawarkan saya berlakon filem ini.

"Tak apalah, apa yang penting saya tahu kenapa saya dapat berlakon dalam filem ini. Saya hanya mampu butakan mata dan pekakkan telinga sahaja," katanya yang ditemui pada majlis pratonton filem Malbatt: Misi Bakara yang akan menjengah panggung pada 24 Ogos depan.

Membawakan watak Lans Koperal Zulkifli, filem Malbatt: Misi Bakara adalah kisah benar mengenai operasi untuk membantu menyelamatkan tentera Amerika Syarikat yang terperangkap dalam perang saudara di Somalia.

Kisah ini pernah diketengahkan dalam filem Hollywood, aitu Black Hawk Down.

Berita Harian X