KUALA LUMPUR: Orkestra Filharmonik Malaysia meraikan ulang tahun ke-25 dengan menganjurkan konsert tribute untuk bintang legenda, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 16 September depan.
Konsert ini adalah langkah bertepatan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) memberikan penghormatan kepada ikon muzik kesayangan Malaysia sempena Hari Malaysia.
Allahyarham Sudirman mula menempa nama selepas dinobatkan juara Bintang RTM 1976 dan berjaya meletakkan diri sebagai antara penghibur paling berjaya dan dihormati di negara ini.
Antara penganjuran konsert paling berjaya di Malaysia ialah konsert terbuka di Jalan Chow Kit pada 1986 yang menyaksikan kehadiran seramai 100,000 penonton.
Diberi jolokan 'The Singing Lawyer', kejayaan terbesar Sudirman pada 1989 apabila dinobatkan juara Salem Asia Music Award di Royal Albert Hall, London.
Sudirman bukan sahaja terkenal menerusi muzik yang melangkau genre, bangsa dan usia, malah kemampuannya dalam menyanyikan lagu dalam pelbagai bahasa seperti Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil, lantas menonjolkan sisi versatil seorang penghibur.
Dalam konsert istimewa kali ini, MPO bakal mempersembahkan program pelbagai tema dan genre.
Lagu-lagu yang bakal dimainkan termasuk alunan tradisional seperti Joget Kenangan Manis dan Apa Khabar Orang Kampung, lagu balada seperti Merisik Khabar, Pelangi Petang dan Hujan serta lagu Broadway termasuk Big Spender dan Memories.
Tidak ketinggalan, lagu rakyat seperti Punch Card dan Basikal Tua serta sempena Hari Malaysia, lagu-lagu patriotik seperti Warisan dan 31 Ogos.
Konsert ini bakal diterajui oleh Ahmad Muriz Che Rose dan menampilkan barisan penyanyi seperti Liza Aziz yang juga bekas penyanyi latar Sudirman serta penyanyi berbakat, Hazama, Ernie Zakri dan Arish Mikael.
MPO akan terus menyajikan persembahan terbaik melalui program pelbagai corak untuk semua lapisan.
Orang ramai menjadi sumber inspirasi dan motivasi MPO sepanjang segala usaha, komitmen dan cabaran dihadapi.
Sumbangan kepada MPO boleh disalurkan di mpo.com.my/donate. Sumbangan diberikan akan disalurkan untuk terus memupuk bakat seni tempatan, menyajikan penonton dengan pelbagai pilihan muzik dan persembahan menarik untuk menyebarkan keindahan muzik.