Jumaat, 11 Ogos 2023 | 12:11pm
Diana tak tuju lagu baharu kepada Farid, bukanlah jenis ambil kesempatan guna isu peribadi demi kepentingan diri. - Foto NSTP
Diana tak tuju lagu baharu kepada Farid, bukanlah jenis ambil kesempatan guna isu peribadi demi kepentingan diri. - Foto NSTP

Lagu Bersama Dengan Rindu bukan dituju kepada Farid

SUBANG: Pelakon dan penyanyi, Diana Danielle menepis dakwaan single Bersama Dengan Rindu yang baru dilancarkan ditujukan kepada bekas suaminya, Farid Kamil.

Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, 32, berkata dia bukanlah seorang yang suka mengambil kesempatan menggunakan isu peribadi demi kepentingan diri.

"Tidak, itu bukan cara saya untuk menggunakan soal peribadi untuk buat perkara ini (lagu). Saya sudah rakam Bersama Dengan Rindu sejak awal tahun lalu.

"Tetapi, disebabkan beberapa hal, pelancarannya terpaksa ditunda.

"Video muzik juga sudah dirakam pada Januari lalu. Jadi, ia tiada kena mengena dengan situasi yang berlaku sekarang," katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini, selepas selesai prosiding lafaz cerai, semalam.

Tambah pelakon filem Imaginur ini, sebagai penyanyi, dia tetap perlu meneruskan kerjaya seninya walau apapun berlaku.

"Lagu Bersama Dengan Rindu perlu segera dikeluarkan kerana ada banyak single lain menyusul. Saya bukannya nak ambil kesempatan, tetapi cuma nak teruskan kerjaya.

"Pagi tadi (semalam) pun saya berkerja. Kerja tetap kerja. Saya bukannya duduk atas dulang emas," ungkap Diana.

Diana ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Subang selepas selesai prosiding lafaz cerai, semalam. - NSTP/Genes Gulitah
Diana ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Subang selepas selesai prosiding lafaz cerai, semalam. - NSTP/Genes Gulitah

Semalam, kemelut rumah tangga Farid atau nama sebenarnya, Farid Kamil Zahari, 42, dengan Diana menemui noktah apabila bercerai dengan talak satu.

Lafaz cerai dilakukan Farid menerusi aplikasi Google Meet di hadapan Hakim Syarie, Shukran Yusof selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai difailkan Diana mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Ini kerana Farid selaku defendan dalam kes lafaz cerai tidak dapat hadir ke mahkamah kerana masih tidak sihat akibat pasca COVID-19.

Kontroversi rumah tangga pasangan ini timbul selepas Diana memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 10 Mac lalu.

Menerusi laporan media, alasan Diana mahu bercerai disebabkan tiada persefahaman, berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Bagaimanapun, Farid dilaporkan enggan melafazkan cerai terhadap isterinya.

Sehubungan itu, hakim syarie memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan melalui perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.

Berita Harian X