KUALA LUMPUR: Pelakon Jasmine Suraya, 33, enggan mengambil pusing soal kecaman diterima selepas menggayakan gaun elegan yang didakwa terlalu seksi.
Jasmine atau nama sebenarnya, Jasmine Chin Xian Mei sebaliknya teruja apabila dapat memperagakan gaun malam rekaan pereka fesyen terkenal, Ivan Young ketika menghadiri Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest), baru-baru ini.
Pereka antarabangsa kelahiran Guangzhou, China itu juga sebelum ini pernah menjadi pereka gaun untuk beberapa selebriti antarabangsa, termasuk penyanyi Ariana Grande.
Jasmine berkata, gaun itu direka khas buatnya dengan nilai mencecah puluhan ribu ringgit.
"Gaun ini direka khas untuk saya dan tidak akan disarungkan oleh orang lain. Kainnya juga 100 peratus kain sutera dan butiran hiasannya dijahit dengan tangan.
"Saya sukakan rekaannya yang juga menampilkan helaian 'cape' yang meleret panjang, rasa macam pelakon Bollywood bila berjalan atas karpet merah," katanya kepada BH Online.
Terdahulu, rata-rata netizen yang menghentam gaun itu menyangkakan Jasmine beragama Islam.
Namun, ramai juga mempertahankan Jasmine kerana merasakan gaun digayakan cantik dan bersesuaian dengannya.
Mengulas cemuhan diterima, Jasmine berkata, setiap individu berhak melontarkan pendapat dan dia menghormati setiap pandangan diterima.
"Saya baca setiap komen positif mahupun negatif mengenai baju ini. Saya sebenarnya gembira bila mendapat banyak pujian.
"Dalam masa sama, saya teruja apabila visi saya dan Ivan dapat dijayakan dengan terhasilnya gaun cukup indah ini," katanya.
Dalam perkembangan lain, Jasmine lebih tertarik berkongsi mengenai karier lakonannya berkata, dia kini bekerja keras untuk menambah baik kemahiran lakonannya.
"Saya mahu watak berbeza dan lebih matang untuk maju ke hadapan. Misi saya mahu bekerjasama dengan ramai penggiat filem tidak kira tempatan dan antarabangsa.
"Saya mahukan naskhah di luar kotak yang mungkin ada sedikit provokasi dengan jalan cerita menarik," katanya.
Jasmine juga akan menjayakan filem terbitan produksi antarabangsa, namun enggan mendedahkan lebih lanjut.