KUALA LUMPUR: Bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, 60, mengesahkan dirinya isteri kepada Jean Todt, 77, melalui perkongsian foto perkahwinan di Instagram (IG).
Yeoh berkongsi foto yang antara lain dirakam ketika detik perkahwinannya dengan Todt, yang juga tunangnya sejak 19 tahun lalu, pada majlis yang dianjurkan, Khamis lalu.
Melalui hantaran itu, pemegang trofi Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95 melalui filem Everything Everywhere All At Once (EEAAO) itu menyelitkan coretan berbunyi:
"Sembilan belas tahun dan iya, kami sudah berkahwin. Terima kasih kepada 'keluarga' yang mencintai kami selama ini.
"Kami sayang anda dan masih banyak lagi yang akan datang," katanya.
Sementara itu, memetik temubual bersama Los Angeles Times, Yeoh dilaporkan berkata, beliau dan Todt sepatutnya berkahwin tahun lalu, namun, urusan itu mengambil masa berikutan suaminya rakyat Switzerland yang menguatkuasakan syarat perkahwinan ketat.
Selain itu, dalam temuramah bersama The Guardian pada September 2021, Yeoh dilaporkan berkata:
"Kami sudah lama disuruh berkahwin. Kadang-kadang kami kata, tunggu, bukankah kita sudah lakukannya?" katanya berseloroh.
Bagi Yeoh, ikatan pertunangan tidaklah penting baginya berbanding Todt, lapor agensi.
"Sehelai kertas tidak mengubahnya untuk saya. Namun, ia amat bermakna bagi Todt... Jadi, ia amat bermakna bagi saya," katanya.
Sebelum ini, berita mengenai perkahwinan Yeoh dan Todt dikongsi bekas pelumba Formula One (F1), Felipe Massa di IG, Jumaat lalu.
Menerusi kad jemputan dimuat naik Masaa, Yeoh dan Todt dinyatakan berkahwin secara rasminya di Geneva.
Yeoh dan Todt dilapor bertemu buat kali pertama pada 4 Jun 2004 di Shanghai Grand Prix di Shanghai, China. Ketika itu, Yeoh yang juga Ratu Cantik Malaysia 1983 terbabit dalam program promosi jenama kereta Ferrari di mana Todt pula adalah pengurus besar syarikat berkenaan.
Ibu Yeoh, Datin Janet Yeoh, 84, dilaporkan berharap anaknya bakal mengadakan majlis resepsi di Malaysia selepas berkahwin.
Pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35, minggu lalu, Yeoh dikurniakan Anugerah Khas Ekspresi Legasi Seni atas sumbangan besarnya dalam industri perfileman dan mengharumkan Malaysia di mata dunia. - AGENSI