KUALA LUMPUR: Usah pertikaikan bakat dimiliki bintang terkenal dari China, Luo Zheng, 27.
Memiliki wajah tampan menjadi satu kelebihan, malah bakat dan keterampilannya di layar kaca berjaya meletakkan Zheng berada dalam kelas tersendiri.
Deretan drama lakonannya sejak 2018 berjaya mengangkat nama Zheng berdiri sebaris dengan bintang popular lain.
Namun, pelakon dan penyanyi itu berdepan satu cabaran dalam karier lakonannya ketika menjayakan drama baharu berjudul Skip A Beat.
Zheng menyifatkan, sukar membawa watak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bernama Gu Yi yang tegas kerana dirinya seorang yang peramah dan ceria.
"Bagi saya, membawa watak CEO yang tegas mungkin sesuai dengan riak muka saya yang nampak seperti garang, tetapi realitinya, saya seorang yang peramah dan ceria.
"Disebabkan itu, saya lebih selesa berlakon dalam beberapa episod terakhir kerana watak Gu Yi yang 'bossy' akhirnya berubah menjadi lemah lembut apabila dapat memenangi cinta hatinya, Qiao Jing," katanya kepada BH Online.
Zheng berkongsi, dia banyak mengawal emosinya bagi merealisasikan watak tegas dalam drama berkenaan.
Katanya, meskipun pernah membawa watak seakan sama menerusi drama lain, namun ini adalah kali pertama membawa karakter tegas dan tidak beremosi.
"Sebelum ini, saya pernah membawa watak CEO dalam drama lain, namun kebanyakannya karakter biasa-biasa sahaja. Ada ketegasan, tetapi tidak seperti Gu Yi ini.
"Perbezaan boleh dilihat menerusi watak Gu Yi adalah seorang yang sukar menunjukkan emosi. Jadi, jika ada babak sedih atau menangis, saya perlu mengawal emosi," katanya pada sidang media secara virtual menerusi platform penstriman, iQIYI Original, baru-baru ini.
Pada masa sama, Zheng berkata, dia mahu tampil dengan kelainan dalam lakonannya dengan mencabar diri membawa watak antagonis bagi drama atau filem.
"Saya teringin membawa watak antagonis. Saya belum pernah menerima tawaran karakter seperti itu.
"Setiap kali ada tawaran lakonan, saya pasti akan tanya sama ada ada watak jahat atau tidak. Ini kerana saya ingin memberi kelainan dalam lakonan saya supaya ada kepelbagaian," katanya.
Skip A Beat adalah drama terbaharu daripada China dengan genre romantik yang turut disiarkan di iQIYI Original.
Selain Zheng, drama Skip A Beat turut dibintangi He Rui Xian, Vincent Cao, Guo Jia Nan, Zhu Jin Tong, Ken Lok dan ramai lagi.
Skip A Beat adalah salah satu karya dari sutradara, Jiang Tian Hang yang sebelum ini pernah mengarahkan drama My Uncanny Destiny dan Love Unexpected.
Zheng adalah anggota kumpulan MR-X memulakan karier lakonannya sejak 2018 dengan membintangi drama berinspirasikan kehidupan di kampus berjudul Unbelievable Sunny.
Sejak 2018, Zheng sudah membintangi lebih 10 drama bergenre romantik.