Sabtu, 8 Julai 2023 | 5:01pm
Afgan Live In Concert With MPO bakal menyaksikan Afgan yang pernah memenangi trofi Artis Lelaki Terbaik, Anugerah Planet Muzik pada 2009 itu menyanyikan seleksi popularnya. Foto IG Afgan
Afgan Live In Concert With MPO bakal menyaksikan Afgan yang pernah memenangi trofi Artis Lelaki Terbaik, Anugerah Planet Muzik pada 2009 itu menyanyikan seleksi popularnya. Foto IG Afgan

Afgan kembali dengan konsert di KL, Disember depan

KUALA LUMPUR: Malaysia bagai rumah kedua buat penyanyi Indonesia, Afgan, 34, berikutan kerap berulang-alik membuat persembahan di sini.

Atas permintaan ramai, Disember depan, Afgan yang sudah 15 tahun berkecimpung dalam dunia muzik, bakal beraksi pada acara, Afgan Live In Concert With Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Afgan atau nama sebenar, Afgansyah Reza teruja beraksi pada konsert yang akan dipentaskan pada 2 Disember depan itu.

"Saya tidak menjangka penganjur, Renjana Idea sekali lagi memilih saya mengadakan konsert selepas Afgan Evolution Live In Kuala Lumpur, Disember tahun lalu.

"Namun, saya percaya mereka ada alasan tersendiri. Bagaimanapun, saya gembira dapat bekerjasama dengan mereka.

 

"Apa boleh dikatakan, untuk konsert ini, ada sesuatu yang cukup mengujakan kerana buat kali pertama, saya bekerjasama dengan pemuzik MPO.

Malaysia bagai rumah kedua buat penyanyi Indonesia, Afgan. Foto IG Afgan
Malaysia bagai rumah kedua buat penyanyi Indonesia, Afgan. Foto IG Afgan

"Tidak sabar untuk menghiburkan peminat nanti," katanya yang sudah merakamkan enam album studio.

Afgan Live In Concert With MPO bakal menyaksikan Afgan yang pernah memenangi trofi Artis Lelaki Terbaik, Anugerah Planet Muzik pada 2009 itu menyanyikan seleksi popularnya.

Tiket menyaksikan konsert berkenaan sudah mula dijual pada 5 Julai lalu di pautan golive-asia.com.

Berita Harian X