Jumaat, 30 Jun 2023 | 4:01pm
Stadium Malawati gamat dengan kemunculan kumpulan Hujan yang cukup dinantikan peminat. - NSTP/Genes Gulitah
Stadium Malawati gamat dengan kemunculan kumpulan Hujan yang cukup dinantikan peminat. - NSTP/Genes Gulitah

Persembahan 4 band rasuk emosi

KUALA LUMPUR: Persis nama diberi, Konsert Jiwa Kacau 2023 di Stadium Malawati, Shah Alam, baru-baru ini, cukup 'mengganggu' emosi peminat apabila disajikan dengan aksi empat kumpulan 'indie' popular pelbagai genre yang mempunyai pengaruh besar dalam industri muzik tempatan.

Pada malam itu, lebih 7,000 peminat Insomniacks, Kugiran Masdo, Bunkface dan Hujan, berpesta pada acara yang dibawa MND Sport & Event Sdn Bhd seolah membuktikan sokongan mereka terhadap band idola masing-masing.

Tidak keterlaluan diakui langkah penganjur menggandingkan empat kumpulan 'indie' itu sebagai keputusan tepat, apatah lagi, melihat peminat seolah-olah 'dirasuk' setiap kali mereka beraksi.

Gelanggang konsert dibuka Insomniacks yang dibarisi Iqie sebagai vokalis dan pemain gitar utama, Iskandar (bes) serta Danial (gitar).

Kumpulan termuda yang membuat persembahan pada malam itu mendendangkan enam lagu iaitu Langgar, Igauan Malam, Here Again, Reminisensi, Sempurna dan Pulang, lantas membangkitkan keterujaan peminat.

Lebih 7,000 peminat Insomniacks, Kugiran Masdo, Bunkface dan Hujan berpesta dalam Konsert Jiwa Kacau 2023 di Stadium Malawati, Shah Alam, baru-baru ini. - NSTP/Genes Gulitah
Lebih 7,000 peminat Insomniacks, Kugiran Masdo, Bunkface dan Hujan berpesta dalam Konsert Jiwa Kacau 2023 di Stadium Malawati, Shah Alam, baru-baru ini. - NSTP/Genes Gulitah

Biarpun Insomniacks tidak sehangat kumpulan 'senior' lain pada malam itu, ia bukan penghalang bagi mereka tampil dengan persembahan memukau.

Kehangatan konsert makin terasa apabila kumpulan yang mengetengahkan muzik genre pop era 1960-an, iaitu Kugiran Masdo, muncul di pentas utama.

Dianggotai Ali Sariah sebagai vokalis, Putuceri (bes), Azham Ahmad (dram), Asmawi (gitar) dan Chakam (keyboard), Kugiran Masdo cukup memukau dengan aksi tersendiri.

Mereka menghadiahkan lapan lagu iaitu Janji Manis, Miss Flower, Teruna Dara, Inilah Jalan-Nya, Dinda, Bunga, MPRNR dan Bercanda Di Malam Indah yang mengheret peminat untuk menari bersama.

Malam kian larut apabila kumpulan yang mengetengahkan muzik punk rock, Bunkface, mengambil alih pentas.

Bunkface tampil dengan lapan lagu iaitu Bunk Anthem, Malam Ini Kita Punya, Ekstravaganza, Rentak Laguku, Darah Muda, Panik, Situasi dan Revolusi.

Kelincahan Sam merangkap vokalis, Youk (bes dan penyanyi latar) serta Paan (gitaris utama) cukup menjadikan segmen dijayakan mereka hangat.

Kelincahan vokalis Bunkface, Sam menghangatkan pentas dengan mendendangkan lapan lagu popular. - NSTP/Genes Gulitah
Kelincahan vokalis Bunkface, Sam menghangatkan pentas dengan mendendangkan lapan lagu popular. - NSTP/Genes Gulitah

Sam turut menjemput seorang peminat untuk sama-sama menyanyikan single Rentak Laguku di pentas.

Menghampiri penghujung konsert, Stadium Malawati semakin gamat dengan kemunculan kumpulan Hujan, yang cukup dinantikan peminat.

Vokalisnya, Noh yang menjadi tarikan utama band itu, mendendangkan sembilan lagu iaitu Obsesi, Mencari Konklusi, Dugaannya, Perindu Kalbu, Jiwa Kelajuan, Ahmoi Chantek, Lonely Soldier Boy, Empayarmu dan Aku Skandal.

Biarpun timbul insiden pertelingkahan kecil membabitkan peminat dan pengawal keselamatan, Noh tenang meleraikan situasi itu.

Konsert Jiwa Kacau 2023 selama empat jam pada 17 Jun lalu, meninggalkan memori indah buat penggemar muzik 'indie' tempatan yang tidak sabar-sabar menanti edisi akan datang.

Berita Harian X