Jumaat, 30 Jun 2023 | 1:00pm
Damasutra melihat signifikasi angka 33 sebagai simbol kematangan dan bukti Damasutra tetap relevan. - NSTP/Aziah Azmee
Damasutra melihat signifikasi angka 33 sebagai simbol kematangan dan bukti Damasutra tetap relevan. - NSTP/Aziah Azmee

Damasutra anjur konsert rai ulang tahun ke-33

KUALA LUMPUR: Pernah mencetuskan fenomena pada era 1990-an dengan rangkaian lagu 'slow rock', Damasutra terus unggul sebagai kumpulan pemuzik yang mempunyai kelompok peminat tegar hingga hari ini.

Lagu Umpama Mimpi Dalam Mimpi, Antara Sutera Dan Bulan, Asyik, Sesat Dalam Rindu, Sufi dan Seribu Bayangan antara seleksi malar segar yang terus menjadi siulan peminat.

Biarpun muncul pelbagai kumpulan baharu di persada hiburan tanah air, Damasutra terus ampuh sebagai jenama yang meninggalkan kesan kepada pencinta muzik.

Justeru, bagi memenuhi permintaan peminat, Damasutra tampil dengan acara mega, Konsert Anniversari Ke-33 Damasutra- The Journey di Zepp Kuala Lumpur pada 27 Oktober depan.

Vokalis Damasutra, Baggio atau nama sebenar, Bahagia Daharun, 52, berkata, kali terakhir mereka beraksi di pentas kira-kira lima tahun lalu. Selepas itu, mereka mula menyimpan hasrat mementaskan konsert mega.

"Sejak tahun lalu, kami sudah berkira-kira mahu menyambut ulang tahun ke-33 Damasutra dengan acara khas bersama peminat untuk dikenang hingga akhir hayat.

"Melihat angka 'cantik' itu, apatah lagi, kami menempuh pelbagai cabaran memperkukuhkan Damasutra sebagai jenama, sudah tentu konsert mega menjadi jawapan untuk meraikan ulang tahun kumpulan.

"Idea ini dicetuskan pengurus dan anggota lain yang melihat signifikasi angka 33 sebagai simbol kematangan dan bukti Damasutra tetap relevan.

"Selain itu, melihat sokongan peminat termasuk kelompok baharu dalam kalangan golongan berusia 20-an, kami terfikir melakukannya," katanya pada sidang media Konsert Annivesari Ke-33 Damasutra - The Journey di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) di ibu negara, baru-baru ini.

Selain Baggio, tunjang utama kumpulan yang ditubuhkan sejak 1990 itu adalah Amran yang juga pengasas merangkap gitaris dan pemain dram, Assu.

Baggio berharap peminat yang membesar dengan dendangan lagu Damasutra dapat berhimpun di Zepp Kuala Lumpur pada 27 Oktober depan. - NSTP/Aziah Azmee
Baggio berharap peminat yang membesar dengan dendangan lagu Damasutra dapat berhimpun di Zepp Kuala Lumpur pada 27 Oktober depan. - NSTP/Aziah Azmee

Sebagai pelengkap, pemain gitar berpengalaman luas, Rizal Wahab akan menggantikan posisi Allahyarham Alok yang menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung, empat tahun lalu.

Konsert dua jam itu bakal diisi dengan rangkaian lagu hit Damasutra yang dipetik daripada empat album studio iaitu Antara Sutra Dan Bulan yang diterbitkan pada 1990, Asyik (1991), Kurnia (1993) dan Penawar (1996).

Kumpulan Kristal bakal beraksi sebagai band pembukaan pada konsert itu.

Baggio berharap peminat yang membesar dengan dendangan lagu Damasutra dapat berhimpun di Zepp Kuala Lumpur, kelak.

"Kali terakhir kami beraksi 'live' adalah di Hard Rock Cafe Melaka pada 2017, disusuli persembahan malam tahun baharu.

"Sudah tentu konsert di Zepp Kuala Lumpur nanti cukup bermakna buat Damasutra.

"Sebelum ini, biarpun masing-masing pernah fokus dengan kerjaya solo, kumpulan ini tetap hidup.

"Kami bukan berpecah dahulu. Sebaliknya, berehat seketika untuk memberi tumpuan kepada projek lain.

"Sejak beberapa tahun lalu, kami aktif semula dengan pelbagai 'showcase' termasuk persembahan amal," katanya.

Tiket Konsert Annivesari Ke-33 Damasutra - The Journey boleh dibeli dengan melayari www.uberticket.my.

Berita Harian X