Ahad, 25 Jun 2023 | 6:41am
Lontaran vokal bernada tinggi Dimash berada dalam kelas tersendiri dan memukau penonton. - NSTP/Aziah Azmee
Lontaran vokal bernada tinggi Dimash berada dalam kelas tersendiri dan memukau penonton. - NSTP/Aziah Azmee

Aksi Dimash Qudaibergen memukau 6,000 penonton

KUALA LUMPUR: Penampilan penyanyi popular dari Kazakhstan, Dimash Qudaibergen, 29, menerusi Konsert Dimash Qudaibergen Live In Malaysia yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, semalam berjaya memukau keseluruhan penonton.

Konsert sulungnya di Malaysia itu berjaya disempurnakan dengan cemerlang apabila kira-kira 6,000 penonton yang hadir tidak berhenti bersorak sebagai tanda berpuas hati dengan setiap lagu dibawakan.

Malah, tidak keterlaluan untuk mengatakan, lontaran vokal bernada tinggi yang ditampilkan Dimash atau nama sebenarnya, Dinmuhammed Qanatuly Qudaibergen berada dalam kelas tersendiri.

Lebih 20 lagu dipersembahkan dalam pelbagai genre dan bahasa membawa penonton merasai pengalaman berbeza daripada konsert yang pernah dianjurkan di Malaysia.

"Selamat malam kawan-kawan dan tetamu sekalian. Saya sangat gembira dapat berjumpa dengan anda dalam konsert pertama saya di Malaysia, malam ini (semalam)," kata Dimash yang cuba berinteraksi dengan penonton dalam bahasa Melayu sebelum memulakan konsert.

Diiringi pasukan pemuzik khas yang dibawa oleh Dimash, Konsert Dimash Qudaibergen Live In Malaysia menjadi menjadi acara penuh gilang-gemilang dan akan terus diingati oleh keseluruhan peminat yang hadir.

Lebih 20 lagu dipersembahkan dalam pelbagai genre dan bahasa membawa penonton merasai pengalaman berbeza daripada konsert yang pernah dianjurkan di Malaysia. - NSTP/Aziah Azmee
Lebih 20 lagu dipersembahkan dalam pelbagai genre dan bahasa membawa penonton merasai pengalaman berbeza daripada konsert yang pernah dianjurkan di Malaysia. - NSTP/Aziah Azmee

Dimash yang tampil dengan beberapa busana berbeza pada konsert berkenaan dilihat memberi sepenuh tenaga dalam setiap lagi disampaikan.

Suasana Axiata Arena bertambah gamat sebaik sahaja penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza muncul di pentas utama untuk membuat persembahan.

Siti yang tampil dengan dua lagu popularnya iaitu Bukan Cinta Biasa dan Nirmala mengundang sorakan dan tepukan gemuruh daripada penonton, malah masing-masing tidak melepaskan peluang untuk menyanyi bersama.

Selama hampir tiga jam konsert berlangsung, Dimash yang memulakan karier nyanyian pada 2010 itu menghibur peminat dengan lagu seperti Golden, Zhalyn, If I Never, Olimpico, Battle Of Memory, Ave Maria, S.O.S, Mahhabat Ber Magan, El Amore En Ti dan banyak lagi.

Terdahulu, Dimash mengadakan konsert solonya pada 6 Mei lalu di Turkiye sebagai sebahagian siri jelajah dunia.

Berita Harian X