KUALA LUMPUR: Sejak ditubuhkan pada 2005, kumpulan muzik dari Indonesia, Kangen Band mencipta magis dalam kembara seni hingga merentasi sempadan.
Biarpun pernah berdepan episod hitam apabila ahli band masing-masing membawa haluan sendiri, namun akhirnya bergabung semula, Kangen Band terus mekar dalam hati peminat dengan rangkaian lagu yang masih menjadi siulan ramai.
Sebagai hadiah buat peminat di Malaysia, Kangen Band kembali ke Kuala Lumpur dalam persembahan istimewa dan eksklusif, iaitu Konsert Live In Kuala Lumpur Kangen Band: Kangen Pada Kenangan di Zepp Kuala Lumpur pada 2 September depan.
Membawa tema Kangen Pada Kenangan, kumpulan dianggotai Andika yang bertindak sebagai vokalis; Dodhy (gitar); Tama (gitar); Bebe (bes) dan Izzy (keyboard), bakal memperdengarkan lagu cinta yang mengangkat nama band berkenaan.
Mewakili teman, Andika berkata, mereka tidak sabar beraksi di hadapan peminat di Malaysia.
"Kami rasa senang kerana dapat datang lagi menghiburkan peminat.
"Walaupun pernah buat persembahan di Malaysia sebagai penyanyi jemputan, kali ini cukup berbeza kerana Kangen Band muncul pada konsert khas.
"Terima kasih kepada peminat di Malaysia yang masih terima kami. Kali pertama kami ke Kuala Lumpur pada 2008 dan mementaskan konsert pada 2012.
"Selepas kumpulan dibubarkan, kami tetap kembali ke sini. Namun, sayang kalau band tidak bubar mungkin kami lebih kerap berkunjung ke Kuala Lumpur," katanya.
Dodhy berkata, sokongan peminat di Malaysia dan Indonesia membuatkan band itu bertahan.
"Terima kasih Malaysia. Untuk berada di negara ini dianggap suatu penghormatan dan kebanggaan kami. Kami rasa dihargai.
"Sebelum ini, kami pernah bubar. Namun, kami bina semula band ini di mana kami buang ego masing-masing untuk kembali bersama.
"Kami renung diri dan melancarkan projek 'reunion' Kangen Band. Alhamdulillah, sejak itu, kami terus bersama.
"Terima kasih atas sokongan semua. Kalau tiada kalian, tiadalah kami," katanya.
Dodhy berkata, pada Konsert Live In Kuala Lumpur Kangen Band: Kangen Pada Kenangan, band itu akan membawa 12 lagu baharu dan lama termasuk dendangan tular di laman sosial seperti Kehilangan Berat Bagiku.
Lebih istimewa, Kangen merancang mempersembahkan lagu kebangsaan, Negaraku pada malam itu.
"Kami menyimpan hasrat mempersembahkan lagu Negaraku. Namun, semuanya masih dalam perbincangan.
"Kami perlu tahu sama ada dapat keizinan atau tidak. Sekiranya boleh, kami akan persembahkan," katanya.
Antara lagu popular yang akan dipersembahkan pada konsert itu adalah Terbang Bersamaku, Takkan Terganti, Kembali Pulang, Tentang Aku Kau Dan Dia, Cinta Sampai Mati, Cinta Sampai Mati 2 dan banyak lagi.
Peminat juga dihiburkan dengan persembahan penyanyi jemputan iaitu Andra Bagindas.
Tiket menyaksikan Konsert Live In Kuala Lumpur Kangen Band: Kangen Pada Kenangan dijual pada harga RM4,800 bagi kategori VIP Box; RM355 (Diamond); RM305 (Platinum) dan RM255 (Gold).
Pembelian boleh dibuat menerusi laman web www.purosangue.live.