Ahad, 18 Jun 2023 | 11:00am
Ismail bangkit semula menerusi drama Bukan Hanya Sekadar Cinta yang disiarkan slot Akasia TV3. Foto IG Ismail Izzani
Ismail bangkit semula menerusi drama Bukan Hanya Sekadar Cinta yang disiarkan slot Akasia TV3. Foto IG Ismail Izzani

Ismail Izzani cari diri yang hilang

KUALA LUMPUR : Andai diselak semula catatan perjalanan Ismail Izzani, 23, anak muda bergelar penyanyi dan pelakon sensasi itu dilihat memilih memencilkan diri daripada kerjaya seni yang sedang memuncak, tahun lalu.

Penyanyi mencipta populariti menerusi single 'hit' berjudul Sabar pada 2017 itu dilihat menyepi buat seketika tanpa diketahui tujuan mahupun sebabnya.

Bahkan, timbul andaian mengatakan kontroversi melandanya dalam tempoh itu juga berkemungkinan mendorongnya untuk lebih memilih mengambil pendekatan hidup dengan cara 'low profile'.

Mendapatkan penjelasannya, Ismail atau nama sebenar, Ismail Izzani Zainal Nazeri berkata, sudah menjadi lumrah anak seni melalui fasa jatuh dan bangun sehingga mendorong untuk berundur buat seketika.

Ismail berkata, keputusan diambil antara lain untuk mencari diri sendiri yang 'hilang'.

Namun, kini Ismail bangkit semula menerusi drama Bukan Hanya Sekadar Cinta yang disiarkan slot Akasia TV3.

"Tahun lalu, saya agak menyepi daripada dunia seni terutama untuk berada di televisyen (TV). Perkara itu terjadi kerana saya ada sebab tersendiri.

"Saya ambil keputusan menyepikan diri kerana mahu berehat dan memberikan masa untuk diri sendiri.

"Saya memilih jalan sebegitu bukan disebabkan tertekan atau masalah lain, tetapi mahu lebih mengenali diri sendiri.

"Selain itu, dalam fasa berkenaan saya gunakan untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga kerana banyak perkara berubah dalam keluarga saya.

Ismail memanfaatkan tempoh berehat untuk menghabiskan pengajian dan meluangkan masa bersama keluarga. Foto IG Ismail Izzani
Ismail memanfaatkan tempoh berehat untuk menghabiskan pengajian dan meluangkan masa bersama keluarga. Foto IG Ismail Izzani

"Boleh dikatakan, pelbagai perkara terjadi pada tahun lalu seperti saya berasa hilang keyakinan diri. Akan tetapi, saya cuba bangkit dengan menerima tawaran sebagai watak utama bagi drama Bukan Hanya Sekadar Cinta," katanya kepada BH Online.

Ismail berkata, tempoh berehat daripada sebarang kegiatan seni juga dimanfaatkan untuk menghabiskan pengajiannya termasuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga tercinta.

"Sepanjang tempoh berehat kira-kira setahun, saya ambil kursus pendek dalam bidang penerbitan muzik secara dalam talian. Alhamdulillah, pengajian ini akhirnya dapat diselesaikan.

"Saya juga memanfaatkan tempoh berkenaan meluangkan masa bersama keluarga. Ketika itu, saya merancang mengenai perkara yang ingin dilakukan pada masa akan datang terhadap kerjaya seni.

"Kalau difikirkan semula, mungkin diri saya 'hilang' seketika kerana banyak perkara yang berlaku," kata Ismail yang juga anak kepada penyanyi veteran 1980-an, Datin Suliza Salam.

Mengulas lanjut, Ismail meluahkan rasa syukur apabila segala-galanya kembali seperti biasa dengan mengikut aturan baru yang sudah ditetapkan Yang Maha Esa.

"Bagaimanapun, saya bersyukur semuanya kembali ke landasan tepat dan saya gembira dengannya.

"Sebenarnya, saya gunakan peluang ini mencari keyakinan dan motivasi dalam tempoh setahun berehat. Ini kerana semua perkara itu sudah hilang sebelum ini.

"Saya kehilangan banyak perkara dalam hidup dan dalam masa sama, menyedari bahawa untuk terus bertahan dalam industri seni ini bukanlah mudah," katanya

Jelas Ismail, dia hanya mahu menganggap setiap kontroversi atau apa sahaja yang pernah memberi kesan kepada dirinya sebagai titik permulaan baharu untuk menjadi lebih baik.

"Mungkin orang ramai melihat saya gembira, tetapi tidak tahu masalah peribadi yang dialami. Isu yang pernah terpalit sebelum ini saya anggap ia sebagai titik yang mampu memberi kesedaran kepada diri.

"Seperti diperkatakan, dalam tempoh berkenaan saya 'hilang', jadi apa sahaja isu yang berlaku saya mahu jadikannya sebagai perkara yang mampu memberi kesedaran.

"Ini juga jalan untuk saya kekal fokus dan belajar. Alhamdulillah, semuanya sudah kembali pulih sekarang dan saya juga kembali ke landasan sebenar," katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, biarpun sudah mula bergiat aktif dalam bidang lakonan, namun arena muzik tetap menjadi keutamaan dan akan diteruskan ke peringkat yang lebih tinggi.

"Selain lakonan, karier muzik tetap diteruskan seperti biasa. Saya akan terbang ke Indonesia bulan depan untuk merakamkan lagu bersama penyanyi di sana.

"Saya akan berada di Jakarta, Indonesia dalam beberapa hari untuk menjalani sesi rakaman di studio.

"Karier muzik ini tetap akan diteruskan kerana saya masih muda. Bagi saya, banyak lagi perkara yang perlu diterokai bukan sahaja di Malaysia.

"Saya akan membawakan kepada pendengar Ismail Izzani yang baharu pada masa akan datang. Kalau menjadi, ia memberi impak positif sangat bersyukur.

"Sekiranya tidak menjadi, saya tetap berbangga dengan apa yang dilakukan," katanya.

Ismail mula mencipta nama ketika berusia 17 tahun dan mula menjadi fenomena selepas single pertama berjudul Sabar hasil ciptaannya sendiri bersama Omar K, Adib Hamdi dan Zynakal.

Sebelum drama Bukan Hanya Sekadar Cinta, Ismail memulakan kerjaya lakonan menerusi telefilem Batang Buruk Lesung Batu, seterusnya membintangi drama Kebaya Kasut Kanvas dan Lelaki Lingkungan Cinta.

Berita Harian X