Khamis, 1 Jun 2023 | 1:00pm
Anuar yang beraksi sepentas bersama pemuzik simfoni remaja dibarisi 82 pelajar perempuan berusia antara 14 tahun hingga 17 tahun itu menyifatkan penampilannya sebagai pengalaman yang tidak boleh dilupakan.
Anuar yang beraksi sepentas bersama pemuzik simfoni remaja dibarisi 82 pelajar perempuan berusia antara 14 tahun hingga 17 tahun itu menyifatkan penampilannya sebagai pengalaman yang tidak boleh dilupakan.

Bakat pemuzik remaja buat Anuar teruja

KUALA LUMPUR: Menjadi detik berharga buat penyanyi tersohor, Anuar Zain apabila penampilannya bersama pemuzik dari Sekolah Seri Putri (SSP), Cyberjaya, pada Flourishes 23: Symphonic Gala Concert di Panggung Sari, Istana Budaya, baru-baru ini, mendapat sambutan luar biasa.

Konsert dua jam itu menyaksikan Anuar sebagai penyanyi undangan mendendangkan tiga lagu iaitu Keabadian Cinta, Sedetik Lebih dan Love Story dengan iringan muzik orkestra diberi nama, Simfonik Wind Seri Puteri (SPWinds).

Anuar yang beraksi sepentas bersama pemuzik simfoni remaja dibarisi 82 pelajar perempuan berusia antara 14 tahun hingga 17 tahun itu menyifatkan penampilan pada konsert berkenaan sebagai pengalaman yang tidak boleh dilupakan.

Malah, Anuar atau nama sebenar, Shahrul Anuar Zain, 53, berkata pembabitan pelajar yang ada antara mereka baru setahun bermain muzik, sebagai suatu permulaan untuk menjadi insan lebih hebat.

"Antara sebab saya terima kolaborasi ini kerana kita (penggiat industri muzik) perlukan pelapis baharu. Kita sudah ada ramai orang lama, jadi ketika ini, kita perlukan orang baharu.

"Kalau dilihat sekarang ini, mungkin tidak berapa ramai yang berminat (bermain muzik). Malah, kebanyakan anak remaja lebih suka bermain telefon pintar.

"Jadi, saya tidak nampak anak muda kita sekarang minat bermain muzik.

"Mungkin kalau dengar lagu, mereka suka. Tetapi untuk bermain muzik, setakat ini tidak nampak sangat.

"Apabila dapat tahu mengenai anak SSP (yang sertai orkestra), saya sangat terkejut kerana ada orang baharu yang berminat dengan bidang ini.

"Sebelum ini, bakat pelapis dilihat tidak begitu ramai. Jadi, apabila dapat tahu mengenai mereka, saya perlu beri sokongan," katanya ditemui sebaik konsert berakhir.

Flourishes 23: Symphonic Gala Concert dianjurkan bagi mengumpul dana bagi membolehkan SPWinds bersaing pada International Orchestra Festival and Competition Golden Sardana di Barcelona, Sepanyol, September depan.
Flourishes 23: Symphonic Gala Concert dianjurkan bagi mengumpul dana bagi membolehkan SPWinds bersaing pada International Orchestra Festival and Competition Golden Sardana di Barcelona, Sepanyol, September depan.

Anuar mengaku kejayaan Flourishes 23: Symphonic Gala Concert memberi inspirasi kepadanya untuk mengadakan konsert orkestra secara solo dengan skala besar, suatu hari nanti.

"Saya berharap kita dapat memberi inspirasi kepada satu sama lain. Saya bersyukur dan bertuah ada sekumpulan anak muda yang berbakat besar, bukan sahaja dari segi muzik, malah pelajaran.

"Hampir setiap penyanyi mengimpikan konsert berskala besar dengan iringan orkestra. Semua penyanyi impikan perkara itu kerana penghayatannya berbeza.

"Setiap instrumen ada pemain yang akan memberi aura tersendiri di atas pentas menuju kepada penonton, ini mampu membuatkan penonton meremang (mendengar muzik dimainkan). 

"Persembahan pada konsert ini adalah sesuatu yang menjentik hati saya untuk bergerak ke arah perkara itu. Ia sangat mengagumkan," katanya.

Konsert dihadiri lebih 1,000 penonton diserikan dengan untaian melodi memukau yang dipetik daripada naskhah luar negara seperti Winds of Provence, Carmina Burana, Space and Above, Skyfall, Don't Cry For Me Argentina, Themes from 007 dan Puccini Aria Fantasy.

Konsert turut diwarnai rangkaian lagu klasik Melayu seperti Pasir Panjang, Tundung Periuk, Lanchang Kuning, Puteri Bersiram dan Joget Serampang serta segmen tarian.

Tirai konsert ditutup dengan dendangan medley lagu Aidilfitri lantas mengundang sorakan dan tepukan gemuruh penonton.

Acara itu yang bertujuan mengumpul dana bagi membolehkan SPWinds bersaing pada International Orchestra Festival and Competition Golden Sardana di Barcelona, Sepanyol, September depan, dihadiri Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Semua hasil kutipan konsert disalurkan kepada SPWinds dalam usaha mengharumkan nama negara dalam misi Road To Barcelona 2023.

SPWinds yang diasaskan sejak 1976 pernah mengharumkan nama negara pada acara di Carnegie Hall di New York, Amerika Syarikat (AS) dan Golden Hall Musikverein di Vienna, Austria.

Pelbagai kejayaan diraih menjadikan SSP antara sekolah terbaik di Malaysia dengan rekod kecemerlangan tertinggi akademik dan pencapaian kokurikulum yang luar biasa di peringkat global.

Berita Harian X