Ahad, 28 Mei 2023 | 8:30am
Pilihan membawa Rendy ke Malaysia sebagai peluang terbaik dalam usaha membantu menyalurkan muzik yang boleh dikomersialkan dengan lebih luas.
Pilihan membawa Rendy ke Malaysia sebagai peluang terbaik dalam usaha membantu menyalurkan muzik yang boleh dikomersialkan dengan lebih luas.

Rendy Pandugo gegar Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer popular dari Indonesia, Rendy Pandugo menyifatkan peluang mengadakan konsert sulung di bumi Malaysia adalah perkara berharga yang sememangnya tidak akan dilepaskan.

Justeru, Rendy teruja tampil menghiburkan peminat di Malaysia menerusi Rendy Pandugo Live in Kuala Lumpur pada 10 Jun depan di Gudang Space @ The Paddock, Petaling Jaya, Selangor.

Rendy berkata, dia berterima kasih kepada Nusafest Presents kerana sudi memilihnya untuk untuk menjayakan siri persembahan di Malaysia, selain tidak sabar memperdengarkan rangkaian lagu daripada album See You Someday yang dilancarkan pada 2021.

"Ini adalah kesempatan besar dan tidak mungkin ditolak kerana bertemu peminat di Malaysia selepas kembara seni sempat istirehat kerana pandemik, ia seperti permulaan baharu.

"Saya harus berterima kasih kepada Nusafest Presents kerana menjadikan saya pemuzik kedua yang mengisi siri persembahan sebelum festival sebenar berlangsung pada Julai depan.

"Buat semua penggemar, sampai jumpa," kata Rendy.

Rendy teruja tampil menghiburkan peminat di Malaysia menerusi Rendy Pandugo Live in Kuala Lumpur pada 10 Jun depan di Gudang Space @ The Paddock, Petaling Jaya, Selangor.
Rendy teruja tampil menghiburkan peminat di Malaysia menerusi Rendy Pandugo Live in Kuala Lumpur pada 10 Jun depan di Gudang Space @ The Paddock, Petaling Jaya, Selangor.

Sementara itu, wakil Nusafest Presents yang dibawakan oleh Shiraz Projects, Shirazdeen Karim berkata, kesempatan membawa Rendy ke Malaysia sebagai peluang yang baik dalam usaha membantu menyalurkan muzik segar dan boleh dikomersialkan dengan lebih luas.

"Kita faham Rendy mempunyai kelompok peminat tersendiri, jadi menerusi Nusafest Presents kami berharap penggemar muzik secara amnya ikut hadir dan menikmati karya daripada pemuzik berbakat besar ini," katanya.

Rendy tidak lagi asing dalam kalangan peminat muzik Indonesia, malah penyanyi berusia 38 tahun itu sudah mencetak namanya dalam sejak 2012.

Namanya cukup popular jika diingat kejayaannya menyanyikan semula lagu fenomena milik Sheila On 7 iaitu Sebuah Kisah Klasik dalam versinya sendiri.

Lagu 'hit' kumpulan Dewa 19 iaitu Lagu Cinta yang menyaksikan kolaborasi dengan rakan seperjuangan iaitu Afgan dan Isyana juga dilantunkan dengan cukup indah dalam versi mereka bertiga.

Bagi penggemar Rendy, lagu-lagu berbahasa Inggeris miliknya seperti Edge of the Heart, 7 Days, I Don#t Care dan Never Let Go (nyanyian bersama Afgan dan Isyana) juga bukan untaian asing bagi mereka.

Lebih menarik, penyanyi Talitha turut diundang bagi mewarnai lagi persembahan bersama Rendy menerusi konsert berkenaan.

Tiket dengan harga RM120 dan RM200 untuk sesi bertemu Rendy boleh didapati menerusi pautan www.shirazmusic.co.

Berita Harian X