Khamis, 18 Mei 2023 | 12:00pm
Anuar ketika sesi latihan bersama SPWinds dari SSPCyberjaya sempena konsert amal, Flourishes 2023: Konsert Gala Seri Puteri Simfonik Winds di Panggung Sari, Istana budaya, Sabtu ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Anuar ketika sesi latihan bersama SPWinds dari SSPCyberjaya sempena konsert amal, Flourishes 2023: Konsert Gala Seri Puteri Simfonik Winds di Panggung Sari, Istana budaya, Sabtu ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Anuar Zain tolak tawaran jadi juri

KUALA LUMPUR: Biarpun sudah memiliki nama gah dalam arena muzik tanah air, Anuar Zain enggan terlalu mendabik dada, malah menganggap dirinya tidak ubah seperti penyanyi lain yang masih memerlukan pelbagai pendedahan.

Sehubungan itu, Anuar atau nama sebenar, Shahrul Anuar Zain, 53, terpaksa menolak tawaran menjadi juri dalam program realiti nyanyian kerana menganggap diri masih belum layak.

"Saya memilih tidak menjadi juri dalam mana-mana program nyanyian. Bidang penjurian ini bukanlah apa yang saya mahukan. Ini secara peribadi sahaja dan tiada kena mengena dengan orang lain.

"Kalau ada yang berfikir untuk menjadi juri, itu adalah hak masing-masing kerana ada keyakinan untuk menggalas tugas itu.

"Tetapi, diri saya bukanlah penyanyi yang belajar untuk menyanyi atau pelajar dalam bidang muzik.

"Jadi, saya lebih baik menjadi seorang penyanyi sahaja. Saya juga fikir tidak sesuai untuk menjadi juri," katanya pada sesi latihan bersama Orkestra Simfonik Wind Seri Puteri (SPWinds) dari Sekolah Seri Puteri (SSP), Cyberjaya sempena konsert amal, Flourishes 2023: Konsert Gala Seri Puteri Simfonik Winds di Panggung Sari, Istana budaya, Sabtu ini.

Anuar menjelaskan sepanjang menceburi hidang nyanyian, beliau hanya mengambil tugas sebagai juri sebanyak dua kali iaitu pada musim kedua Akademi Fantasia (AF2) sebagai juri jemputan dan Malaysian Idol.

Anuar berkata, antara faktor lain yang mengukuhkan lagi keputusannya itu adalah beliau tidak sanggup berhadapan komen negatif penonton jika peserta diminati dikritik selepas menjayakan persembahan.

"Apabila ada peminat yang terlalu beremosi atau kasihkan kepada penyanyi yang sedang membuat persembahan, mereka tidak dapat terima komen juri.

"Sebenarnya niat juri ini sangat murni iaitu untuk membantu seorang penyanyi membuat persembahan atau menyanyi dengan lebih baik.

"Tetapi, kadang-kadang penonton ini tidak dapat faham situasi itu dan menyerang juri.

"Jadi, perkara itulah yang saya tidak suka. Saya tidak mahu ada negativiti dalam kehidupan saya kerana ia akan merosakkan diri sendiri.

"Saya kasihan apabila lihat ada juri yang teruk dihentam penonton biarpun niatnya mahu membantu penyanyi itu menjadi lebih baik.

"Jadi, sebab itu saya lebih suka menjalani rutin sebagai seorang penyanyi sahaja," katanya.

Anuar terpaksa tolak tawaran menjadi juri dalam program realiti nyanyian kerana menganggap dirinya masih belum layak. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Anuar terpaksa tolak tawaran menjadi juri dalam program realiti nyanyian kerana menganggap dirinya masih belum layak. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Anuar mengaku banyak menerima tawaran menjadi juri dalam pelbagai jenis program sama ada pertandingan biasa atau berprestij, namun, tetap dengan keputusan menolaknya.

"Saya terima banyak tawaran jadi juri... hampir segala-galanya (program nyanyian). Namun, semuanya saya tolak. Saya fikir tidak sesuai dan tidak layak jadi juri.

"Kadang-kadang, kita ini dalam tidak sedar memberi komen yang boleh memberi kesan kepada seseorang. Jadi, saya mahu jauhkan diri daripada perkara seperti itu," katanya.

Mengulas mengenai kolaborasi bersama SPWinds untuk konsert dirancang, Sabtu ini, Anuar berkata, keserasian sesama mereka berjaya dibentuk dan menyifatkan pemuzik simfoni remaja berusia antara 14 hingga 17 tahun itu berbakat besar.

"Sebenarnya, apabila bersama SPWinds, saya fikir mereka seperti anak-anak sehingga membuatkan saya beri yang terbaik sebagai satu pasukan.

"Apabila kami berjaya mewujudkan keyakinan antara satu sama lain, ia membuatkan kami lebih bersemangat untuk berkarya, sekali gus mampu memberi persembahan terbaik kepada penonton.

"Mereka sangat berbakat dan ini mengejutkan saya ketika kali pertama bertemu," katanya yang popular menerusi lagi Lelaki Ini dan Sedetik Lebih.

Konsert gala yang dijayakan itu bertujuan mengumpul dana bagi meneruskan legasi kecemerlangan SPWinds ke pertandingan International Orchestra Festival and Competition Golden Sardana di Barcelona, Sepanyol antara 12 sehingga 17 September depan.

Dalam merealisasikan hasrat anak-anak tempatan, mereka memerlukan dana berjumlah RM900,000 dan semua hasil kutipan konsert akan disalurkan kepada SPWinds dalam rangka menjayakan misi Road To Barcelona 2023.

SPWinds atau yang ditubuhkan di SSP sejak 1976 pernah mengharumkan nama negara pada acara di Carnegie Hall di New York, Amerika Syarikat (AS) dan Golden Hall Musikverein di Vienna, Austria.

Tiket konsert boleh didapati melalui laman web Ticket Empire, https://www.myticketempire.com/flourishes23 pada harga antara RM168 sehingga RM468.

Berita Harian X