SHAH ALAM : Bekas isteri Sam Bunkface, Aida Azira Hussin tidak bersetuju jika jumlah nafkah sebanyak RM1,300 dikurangkan atas alasan boleh menyebabkan anak mereka, Maleeq, 7, tidak dapat menjalani kehidupan sempurna.
Aida berkata, jika nafkah bulanan dipinda, dia perlu mengurangkan perbelanjaan anaknya.
"Sekiranya nafkah dikurangkan, bermakna saya perlu kurangkan perbelanjaan anak. Kos itu termasuk tempat tinggal, makanan, pakaian, perubatan, pengangkutan ke sekolah dan utiliti seperti bil air dan elektrik.
"Jika dikurangkan, saya terpaksa kurangkan makanan Maleeq di mana setiap kali mengambilnya dari sekolah, anak saya berbelanja kira-kira RM15 untuk membeli makanan seperti ais krim dan 'toys' (permainan).
"Selain itu, anak tidak selesa kerana perlu mengehadkan penggunaan penghawa dingin yang saya kira membabitkan bil (perlu dibayar)" katanya.
Aida, 36, berkata demikian ketika disoal balas peguam syarie, Liyana Sihar yang mewakili Sam selaku plaintif pada perbicaraan pindaan tuntutan jumlah nafkah anak di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari di sini, petang tadi.
Aida memaklumkan jumlah nafkah anak sebanyak RM1,300 yang diperoleh daripada Sam digunakan untuk membayar pelbagai keperluan antaranya insurans dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang perlu dibayar secara bulanan, selain perubatan dan makanan.
Sementara itu, Aida selaku defendan beranggapan pendapatan plaintif tidak terjeas akibat pandemik berikutan adanya royalti.
Namun, ketika disoal peguam berhubung isu itu, Aida tidak pasti sama ada bekas suaminya itu memperoleh bayaran atau tidak.
Selepas selesai sesi soal balas itu, Hakim Syarie Shukran Yusof menetapkan 26 Jun depan bagi prosiding pemeriksaan balas yang akan dilakukan peguam syarie mewakili Aida.
Sebelum ini, media melaporkan Sam menepis tuduhan Aida berhubung dakwaan mengabaikan tanggungjawab terhadap anak tunggal mereka, Maleeq.
Sam atau nama sebenar, Shamsul Annuar Baharum, 35, turut mengulas punca jumlah nafkah anak mereka, dikurangkan, daripada RM1,300 kepada jumlah yang mampu dilunaskan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketika itu, Sam mendakwa punca pendapatannya sangat terhad, selain lebih dua tahun perniagaan diusahakan terjejas.
Sementara itu, Sam ketika ditemui sebaik prosiding berakhir, berharap keadilan pindaan tuntutan nafkah Maleeq yang ditangguhkan kepada 26 Jun depan, berpihak kepadanya.
Bagaimanapun, Sam menyerahkan keputusan kepada mahkamah.
"Saya hanya ingin mencari keadilan dan berharap keadilan akan berpihak kepada saya.
"Tiada apa yang hendak saya cakapkan. Biarlah mahkamah yang tentukan. Selain daripada itu, kena tanya kepada Puan Aida," katanya yang ditemani isteri, Puteri Eifa Ezrin Mohd Kushairi ke mahkamah.
Ketika ditanya apakah dia berpeluang meraikan Aidilfitri bersama anaknya, Sam tidak mengulas panjang. Sebaliknya, Sam menzahirkan kesyukuran.
"Alhamdulillah, setakat ini okay," katanya tanpa berkongsi lanjut mengenai pertemuan dengan Maleeq.
Sam berjanji memberi kenyataan jika ada keperluan berbuat demikian.
"Sekiranya ada isu besar, saya akan beri kenyataan.
"Setakat ini, kenyataan besar yang ingin saya kongsi, Bunkface akan lancar album baharu, tidak lama lagi," katanya.
Sementara itu, Aida enggan memberi kenyataan, sebaliknya, berlalu sambil ditemani seorang rakannya.
Pada 29 Mac lalu, Sam dan Aida hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini, bagi sebutan kes pindaan nafkah anak mereka.
Aida tidak bersetuju dengan permohonan dibuat penyanyi terbabit, selain meminta bukti andai tidak mempunyai pendapatan atau tawaran persembahan seperti didakwa.
Sam mendirikan rumah tangga dengan Aida yang juga penerbit di sebuah stesen televisyen (TV) pada 25 April 2015, namun bercerai empat tahun kemudian.