Ahad, 14 Mei 2023 | 6:00pm
Anuar bantu kumpul dana bagi meneruskan kecemerlangan SPWinds ke International Orchestra Festival and Competition Golden Sardana di Barcelona, Sepanyol antara 12 sehingga 17 September depan.
Anuar bantu kumpul dana bagi meneruskan kecemerlangan SPWinds ke International Orchestra Festival and Competition Golden Sardana di Barcelona, Sepanyol antara 12 sehingga 17 September depan.

Anuar bantu SSP cari dana sertai pertandingan di Sepanyol

KUALA LUMPUR: Buat julung kali, penyanyi berkaliber, Anuar Zain bakal tampil bersama Orkestra Simfonik Wind Seri Puteri (SPWinds) dari sekolah tersohor dengan pencapaian terbaik dalam dan luar negara, Seri Puteri (SSP), Cyberjaya menerusi konsert amal Flourishes 23: Symphonic Gala Concert di Panggung Sari, Istana Budaya pada pada 20 Mei ini.

Konsert gala yang dijayakan itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi meneruskan legasi kecemerlangan SPWinds ke pertandingan International Orchestra Festival and Competition Golden Sardana di Barcelona, Sepanyol antara 12 sehingga 17 September depan.

Justeru, dalam merealisasikan hasrat anak-anak tempatan, mereka memerlukan dana berjumlah RM900,000.

Penganjuran konsert amal itu turut mendapat sokongan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

SPWinds adalah sebuah pasukan wind orkestra yang ditubuhkan pada 1976 di SSP dan diiktiraf sebagai School of Global Excellence (SGE) oleh KPM.

SPWinds yang juga watak kebitaraan SSP berjaya memanifestasi pengiktirafan SGE, dengan memenangi pelbagai pertandingan peringkat antarabangsa serta mengharumkan nama negara di pentas ternama dunia muzik klasik seperti Carnegie Hall di New York dan Golden Hall Musikverein di Vienna, Austria.

Pelbagai kejayaan diraih menjadikan SSP antara sekolah terbaik di Malaysia dengan rekod kecemerlangan tertinggi akademik dan pencapaian kokurikulum yang luar biasa di peringkat global.

Semua hasil kutipan konsert berkenaan akan disalurkan kepada SPWinds dalam rangka menjayakan misi Road To Barcelona 2023.

Tiket konsert boleh didapati melalui laman web Ticket Empire, https://www.myticketempire.com/flourishes23 dengan harga antara RM168 sehingga RM468.

Berita Harian X