Ahad, 14 Mei 2023 | 1:00pm
Wali Band puji usaha Floor 88 yang menyelitkan elemen pop Melayu dalam lagu sehingga tular sehingga ke Indonesia.
Wali Band puji usaha Floor 88 yang menyelitkan elemen pop Melayu dalam lagu sehingga tular sehingga ke Indonesia.

Wali Band kagum karya Floor 88 melangkaui sempadan

KUALA LUMPUR: Kumpulan popular dari Indonesia, Wali Band berharap legasi muzik pop Melayu yang diperjuangkan sejak dahulu dapat diteruskan oleh pemuzik generasi muda pada masa akan datang.

Wali Band yang dianggotai Faank selaku vokalis, Apoy (gitaris), Ovie (keyboard) dan Tomi (dram), berharap muzik pop Melayu akan terus dilestarikan kerana ia melambangkan identiti muzik rumpun Nusantara.

"Usaha ini perlu dilestarikan agar muzik pop Melayu terus hidup dan subur di rumpun ini. Kami berharap legasi muzik Wali Band akan diteruskan pemuzik muda," kata Apoy.

Wali Band yang bakal beraksi di Zepp Kuala Lumpur pada 20 Mei ini menerusi Konsert Dream Festival Collaboration Vol 2 bersama kumpulan Floor 88 bagaimanapun, optimis masa depan muzik pop Melayu.

Buktinya, kata Apoy, kemunculan band seperti Floor 88 yang menyelitkan elemen Melayu dalam lagu sehingga tular di Indonesia memperlihatkan keampuhan genre muzik itu untuk terus bersaing dengan genre lain.

"Floor 88 membuktikannya karya mereka melangkaui sempadan. Mereka adalah antara band dari Malaysia yang bagus, malah lagu juga diterima dengan baik peminat di Indonesia.

"Justeru, menerusi kerjasama dalam Konsert Dream Festival Collaboration Vol 2 - Wali Band dan Floor 88, kami berharap usaha ini akan dapat memperluaskan lagi pengaruh muzik pop Melayu di rumpun ini.

"Kami bangga dengan muzik dibawakan Floor 88 yang sangat kental elemen Melayu. Antara lagu kami suka adalah Hutang (Pok Amai Amai)," katanya.

Floor 88 berkongsi pentas dengan Wali Band menerusi Konsert Dream Festival Collaboration Vol 2 di Zepp Kuala Lumpur pada 20 Mei ini.
Floor 88 berkongsi pentas dengan Wali Band menerusi Konsert Dream Festival Collaboration Vol 2 di Zepp Kuala Lumpur pada 20 Mei ini.

Mengulas kemunculan di pentas Zepp Kuala Lumpur, Apoy berkata, selepas lebih lima tahun tidak beraksi di Kuala Lumpur, mereka berharap Konsert Dream Festival Collaboration Vol 2 - Wali Band dan Floor 88 bakal mengubat kerinduan peminat.

"Sudah lama kami tidak membuat persembahan di festival besar di Kuala Lumpur. Lebih bermakna, kami akan bergandingan dengan Floor 88 yang memiliki karisma tersendiri di pentas.

"Kami akan memberikan persembahan yang terbaik, selain menampilkan kejutan untuk memastikan penonton yang hadir pulang dengan kepuasan maksimum.

"Sudah tentu akan ada beberapa pembaharuan, terutama dari sudut susunan muzik. Sesuatu yang pasti, lagu yang bakal dipersembahkan adalah lagu hits pilihan peminat," katanya.

Sementara itu, Apoy berkata, Wali Band mengambil masa sebulan untuk menentukan senarai lagu yang bakal dinyanyikan, selain sangat mementingkan persediaan fizikal dan mental supaya dapat memberikan persembahan terbaik pada konsert berkenaan.

"Dalam latihan, kami akan meluangkan masa untuk bersukan bagi mendapatkan stamina. Selain bola sepak, kami juga bermain ping pong kerana perlu sentiasa bertenaga apabila beraksi.

"Kami berbangga dapat kembali beraksi di Kuala Lumpur dan pastinya, festival ini menjadi antara persembahan luar biasa untuk dikenang sepanjang tahun ini," katanya.

Tiket menyaksikan Konsert Dream Festival Collaboration Vol 2 - Wali Band dan Floor 88 dijual pada harga RM198 (Festival), RM298 (Kategori 2), RM358 (Kategori 1) dan RM5,088 (VIP Box) boleh didapati menerusi pautan, ticket2u.com.my.

Berita Harian X