Jumaat, 12 Mei 2023 | 6:00pm
Syafiq tidak rimas, sebaliknya kisah kerjayanya seakan tenggelam dek cerita kahwin. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Syafiq tidak rimas, sebaliknya kisah kerjayanya seakan tenggelam dek cerita kahwin. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Kisah kerjaya tenggelam, isu kahwin lebih curi tumpuan

KUALA LUMPUR: Bakal bergelar 'Raja Sehari', pelakon Syafiq Kyle tidak betah apabila sering diajukan soalan persediaan ke jenjang pelamin.

Ditemui pada sesi tayang filem Tonton Original, Seindah Kasih, aktor berusia 30 tahun itu berkata, dia tidak rimas, sebaliknya kisah kerjayanya seakan tenggelam dek cerita kahwin.

Sedangkan, ujarnya, peminat pasti ingin mengetahui perkembangan naskhah lakonannya seperti Polis Evo 3, The Epxerts dan banyak lagi.

"Semakin hampir dengan tarikh pernikahan, tiada soalan lain diajukan melainkan kisah kahwin.

"Daripada sebelum puasa, soalan itu sahaja yang diajukan dan rasanya saya sudah jawab berkali-kali sehinggakan tiada langsung cerita mengenai kerjaya diberikan perhatian.

"Tiada isu rimas, tidak mahu jawab atau tidak suka soalan perkahwinan. Ini kerana segala hal berkaitan perkahwinan dan gambar Mimi Lana turut saya kongsi dalam Instagram.

"Cuma, saya berharap tiada lagi soalan berkaitan perkahwinan diajukan kerana saya sudah jawab berkali-kali," pinta Syafiq ketika ditemui media selepas tayang filem Seindah Kasih, baru-baru ini.

Syafiq dan barisan pelakon ketika tayangan filem Seindah Kasih, baru-baru ini. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Syafiq dan barisan pelakon ketika tayangan filem Seindah Kasih, baru-baru ini. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Dalam keberatan, Syafiq tetap menjawab setiap soalan diajukan.

Katanya, persiapan menuju hari bahagia sudah siap sepenuhnya memandangkan bakal sibuk di lokasi penggambaran bulan depan bagi menjalani penggambaran drama bersiri, Inspector Singh Investigates untuk platform penstriman dari United Kingdom (UK).

"Oleh kerana bakal sibuk bulan depan jadi persiapan harus disegerakan agar tidak mengganggu perancangan perkahwinan.

"Saya bakal masuk ke lokasi untuk drama bersiri bagi platform penstriman dari UK. Ia sebuah drama penyiasatan menerusi adaptasi novel dengan watak anggota polis.

"Selain saya, ada juga beberapa pelakon tempatan yang turut beraksi dalam drama. Salah satu sebab membuatkan saya tertarik dengan tawaran kerana cabaran bertutur dalam bahasa Inggeris.

"Saya mahu bekerja dengan lebih serius dan bersedia meneroka perkara baharu seperti drama bersiri dari UK ini," katanya yang menjalani sesi uji bakat di Malaysia.

"Ini juga batu loncatan untuk mengetengahkan bakat. Saya semestinya tidak mahu melepaskan peluang melebarkan sayap di luar negara," katanya.

Berita Harian X